Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, October 8, 2010

Bekalan air bersih: Kelantan terus ketinggalan

PUTRAJAYA 7 Okt. - Kelantan terus ketinggalan dalam aspek penerimaan bekalan air bersih apabila hanya 55.7 peratus daripada populasi negeri itu menerima bekalan air terawat.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, peratusan penduduk yang menerima bekalan air terawat di negeri itu jauh di belakang kadar nasional iaitu 91.6 peratus.
Menurutnya, keadaan di Sabah dan Sarawak juga lebih baik berbanding Kelantan apabila masing-masing mencatatkan 76.3 peratus dan 86.2 peratus dari segi liputan air terawat untuk penduduk.
"Liputan bekalan air terawat di Kelantan adalah 57.7 peratus di kawasan bandar dan 54.7 peratus di kawasan luar bandar.
"Kelantan paling rendah dari segi peratusan penduduk yang menerima air terawat," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Peter berkata, Kerajaan Persekutuan ketika ini sedang giat melaksanakan projek bekalan air luar bandar di negeri Kelantan melalui kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
"Bagi negeri Kelantan, kesungguhan Kerajaan Persekutuan terbukti melalui pelaksanaan projek-projek bekalan air di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melibatkan pembinaan loji rawatan air serta menaiktaraf loji, tangki air dan sistem pengagihan," katanya.
Dalam pada itu, Peter berkata, secara keseluruhannya, Malaysia merupakan negara paling baik dari segi perkhidmatan bekalan air di kalangan negara-negara membangun di Asia.
"Secara purata, 91.6 peratus penduduk negara ini menerima bekalan air terawat iaitu 96.8 peratus bagi kawasan bandar manakala 86.5 peratus untuk kawasan luar bandar.
"Purata liputan perkhidmatan bekalan air bagi kebanyakan negeri melebihi 90 peratus. Hanya Kelantan, Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai liputan bekalan air yang rendah berbanding negeri lain," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails