Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Tuesday, October 26, 2010

Beri perhatian kualiti jalan raya

keadaan jalan yang biasa dilihat sekitar Kuala Lumpur, berlopak dan tidak rata bakal mengundang kemalangan.

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pelbagai persatuan pengguna hari ini mendesak pihak berkenaan memberi perhatian serius terhadap kualiti jalan raya khususnya masalah berlubang dan turapan semula yang tidak rata.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, agensi berkenaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kualiti turapan jalan memenuhi piawaian ditetapkan dan bukannya sekadar melepas batuk di tangga.
Katanya, hanya syarikat yang bertauliah patut diberikan tender untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.
"Pengawasan terhadap kerja-kerja itu perlu dilakukan bagi mengelak ia dilakukan secara sambil lewa sahaja.
"Saya percaya, jika kesemua perkara ini dititikberatkan, kita mampu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan laporan mengenai masalah jalan raya yang tidak rata, berlubang dan berlopak serta sering mengundang masalah kepada para pengguna kenderaan di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota.
Walaupun ada jalan yang telah diturap, tetapi turapan itu tidak tahan lama dan kembali berlubang terutamanya selepas hujan lebat.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob Georgeyang sependapat dengan Marimuthu menggesa satu pasukan pemantau khas ditubuhkan bagi memastikan turapan jalan raya di negara ini sentiasa berkualiti.
"Isu jalan tidak rata dan berlubang sering dibangkitkan sebelum ini sehingga pernah dibawa ke Parlimen.
"Persatuan-persatuan pengguna termasuk CASSA juga telah menghantar banyak memorandum kepada pihak berkenaan tetapi penyelesaian yang diambil belum mampu memuaskan hati semua pihak terutamanya pengguna jalan raya," katanya.
Pada masa sama, beliau khuatir wujud amalan rasuah atau salah guna kuasa di kalangan pihak tertentu yang berkepentingan sehingga menyebabkan kerja-kerja seperti penurapan jalan tidak dapat dilakukan dengan baik.
"Saya ada menerima laporan bahawa apabila satu-satu tender diberikan untuk kerja penurapan jalan dilakukan, ada pihak yang 'menjual' tender berkenaan kepada pihak lain.
"Sehubungan itu, saya berharap agar satu pemantauan yang rapi dilakukan bagi mengelakkan isu ini berlarutan," katanya.
Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails