Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Saturday, October 30, 2010

Keluarga Sosilawati saman RM40 juta

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Ahli keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya akan memfailkan saman RM40 juta terhadap N. Pathmanabhan dan lima pekerja ladang milik peguam tersebut yang didakwa menyebabkan kematian jutawan kosmetik itu secara salah.
Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners di sini hari ini, tuntutan tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pukul 10 pagi, Selasa ini.
Peguam Kamarudin Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini menyatakan, beliau dan dua lagi peguam, Won Walter Pereira dan Annie Gomez telah dilantik untuk mewakili enam anak Sosilawati yang merupakan plaintif dalam kes tersebut.
Plaintif merupakan Erni Dekritawati Yuliana, 25; Erwan Suwari Ridzuan, 24; Erni Erinawati Sofea, 21; Md. Erwan Nasri, 23; Erni Reenilawati, 20; dan Siti Nur Fatimah, 13.
Beliau memaklumkan kesemua plaintif akan hadir ke mahkamah pada 2 November ini.
Menurutnya, tuntutan saman RM40 juta itu dikemukakan oleh anak-anak Sosilawati berdasarkan keadaan perniagaan yang terjejas selepas kematian ibu mereka yang terlibat dalam perniagaan hartanah, selain bidang kecantikan.
“Saman ini difailkan oleh mereka demi menuntut keadilan di sisi undang-undang,’’ katanya.
Ketika ditanya sama ada tiga mangsa lain akan membuat tuntutan yang serupa selepas ini, Kamarudin menyatakan, setakat ini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada ahli keluarga mangsa.
Sosilawati, 47, mati dibunuh pada 30 Ogos lalu bersama pemandunya, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Ahmad Kamil merupakan salah seorang peguam di firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners.
Pihak polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, 41, bersama tiga pekerja ladangnya didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, Selangor atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga rakannya itu.
Tiga pekerja ladang yang turut didakwa bersama peguam tersebut ialah T. Thilaiyalagan, 19; R. Matan, 20; dan R. Kathavarayan, 30.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails