Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, October 26, 2010

Petisyen Sultan Ismail Petra ditolak

PUTRAJAYA 25 Okt. – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Sultan Ismail Petra tiada hak di sisi undang-undang untuk merujuk isu-isu perlembagaan bagi mendapat tafsiran berhubung pelaksanaan bidang kuasa sultan sewaktu ketidakupayaan baginda.
Peguam Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berhujah, bekas Sultan Kelantan itu tidak berhak menggunakan Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan untuk merujuk isu-isu perlembagaan kerana baginda ketika itu bukan seorang sultan.
Oleh yang demikian, beliau turut menghujahkan, tindak-tanduk putera sulung baginda yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota tidak boleh dipertikaikan di sisi undang-undang kerana selaku pemangku sultan, tugas itu dijalankan sewaktu ketidakupayaan ayahandanya.
‘‘Hanya seorang sahaja dibenarkan menjalankan kuasa sultan pada satu-satu masa. Oleh kerana ketika itu baginda tidak berkeupayaan, kuasa itu hanya boleh dilaksanakan oleh Tengku Mahkota,” hujah peguam bela.
Sehubungan itu, segala tindakan Sultan Muhammad V ketika melaksanakan bidang kuasa sultan seperti menggugurkan ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) tidak boleh dicabar kerana baginda mempunyai kuasa berbuat demikian.
Dengan itu, Abraham memohon agar kedua-dua petisyen yang difailkan oleh Sultan Ismail Petra ditolak dengan kos kerana ketiadaan hak itu menjadikan mahkamah tiada bidang kuasa mendengarnya.
Pada 5 Mei lalu, Sultan Ismail Petra selaku pempetisyen memfailkan petisyen pertama bagi mendapat pandangan mahkamah berhubung dua isu:

  • Sama ada Putera Mahkota yang memangku tugas sewaktu ketidakupayaan sultan, layak menjalankan bidang kuasa itu secara penuh.

  • Sama ada Putera Mahkota yang memangku tugas ketika ketidakupayaan sultan, mempunyai autoriti untuk menggugurkan atau melantik ahli MPN.

  • Dalam petisyen kedua yang difailkan pada 22 Jun lalu, Sultan Ismail Petra turut meminta pandangan mahkamah terhadap isu-isu tambahan berhubung hak-hak asasi seorang sultan.
    Bekas Sultan Kelantan itu turut memfailkan petisyen ketiga bagi memohon campur tangan mahkamah agar mengisytiharkan pemasyhuran Sultan Muhammad V pada 13 September lalu, sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
    Dalam petisyen itu, baginda memohon pandangan mahkamah sama ada anakanda sulungnya yang ketika itu merupakan Putera Mahkota mempunyai hak eksklusif untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.
    Sebelum itu, panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan Sultan Ismail Petra untuk menangguhkan pendengaran kedua-dua petisyen itu.
    Peguam Tunku Datuk Dr. Sofiah Jewa yang mewakili baginda ketika berhujah memohon penangguhan menyatakan, peguam utama, Raja Aziz Addruse kini menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di Singapura.
    Menurut beliau, pihaknya memerlukan masa untuk menggabungkan ketiga-tiga petisyen itu kerana kesemuanya melibatkan isu undang-undang yang saling berkaitan selain bagi membolehkan mahkamah menimbang agar permohonan itu didengar oleh panel tujuh hakim.
    Hakim Zulkefli yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong kemudian menetapkan 11 November ini bagi mendengar hujah balas daripada peguam pempetisyen.

    No comments:

    Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails