Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Wednesday, October 20, 2010

Tragedi bot ekspres: Dua lagi mayat ditemui, 5 masih hilang

Sepasukan anggota penyelamat melakukan operasi mencari mangsa yang masih hilang di sekitar bot ekspres yang karam di hulu Sungai Anap, Tatau, Sarawak, semalam.

BINTULU 19 Okt. – Dua lagi mayat penumpang bot ekspres yang terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kapal tunda di hulu Sungai Anap, Tatau dekat sini semalam ditemui hari ini, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada enam orang.
Ketika ini, usaha mencari dan menyelamat lima lagi mangsa yang masih hilang sudah dihentikan pukul 7 petang ini dan akan disambung semula pagi esok.
Hari ini, mayat dua mangsa iaitu Bermas Myiun, 26, dari rumah panjang Ringkai, Tatau dan Lily Manggie, 38, dari rumah panjang Pandong, Kakus ditemui terapung tidak jauh dari lokasi perlanggaran pukul 1.30 petang dan 2.20 petang.
Semalam, empat mayat penumpang yang ditemui ialah Jennifer Yak, 10 bulan; Mias Renggan, 75, dari Nanga Belunggai, Kakus; Wilfred Ukir Salleh, 56, dari rumah panjang Sudan, Sungai Naman Sibu; dan Wong Siew Guan, 29, dari Sungai Durin, Sibu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, dua mayat ditemui petang ini selepas empat mangsa termasuk seorang bayi 10 bulan ditemui malam tadi.
Katanya, sejurus kejadian itu, pihaknya menahan seorang pemandu bot berusia 58 tahun dan bertindak mereman lelaki yang berasal dari Sibu itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Buat masa ini, kita percaya kemalangan ini berpunca daripada kecuaian manusia dan tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan hukuman mengikut Kanun Keseksaan ke atas pemandu bot terbabit.
“Kita juga mungkin akan mengambil tindakan terhadap pemandu kapal tunda terbabit sekiranya dia turut didapati cuai sehingga menyebabkan berlaku kemalangan ini,” katanya kepada pemberita di Kem Kelebu di sini hari ini.
Dalam nahas yang berlaku pukul 2.30 petang semalam, empat penumpang dilaporkan maut manakala sembilan lagi hilang apabila sebuah bot ekspres yang mereka naiki terbalik dan karam selepas terlanggar kapal tunda membawa balak.
Dianggarkan kira-kira 30 penumpang berada di dalam bot ekspres berkenaan yang sedang menghala ke Kakus dari Tatau.
Dalam kejadian itu, seramai 17 penumpang terselamat hasil bantuan segera pihak berkuasa yang menjalankan kerja mencari dan menyelamat bersama pekerja pembalakan di Kem Kelebu, tidak jauh dari tempat nahas itu berlaku sejurus selepas kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin serta penduduk kampung membabitkan tujuh penyelam dan penggunaan tujuh buah bot.
Mohmad memberitahu, lima mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Peter, 28, dan anaknya Amilia, 3, seorang penumpang lelaki yang hanya dikenali sebagai Empum, Lenny Ibin, 9, serta Alicia Emelda Sumping, 5.
Beliau berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan ada yang telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
“Sehubungan itu, polis meminta sekiranya ada penduduk yang kehilangan ahli keluarga supaya segera memaklumkan kejadian itu kepada polis kerana kita tidak dapat memastikan jumlah sebenar penumpang yang berada di dalam bot berkenaan,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails