Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, October 5, 2010

Tuanku Mizan Canselor UPNM pertama

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang pertama pada majlis istiadat konvokesyen sulung universiti itu pada 10 Oktober ini.
Brigedier Jeneral Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Ghazali Mohamed Seth pula dilantik sebagai Pro-Canselor UPNM.
Seramai 148 graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM ) bakal menerima ijazah sarjana muda masing-masing pada majlis tersebut.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor berkata, istiadat konvokesyen sulung itu bakal melahirkan lebih ramai anggota tentera yang bersemangat waja dan memenuhi keperluan sumber manusia untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlandaskan tahap profesionalisme yang ditetapkan.
''Graduan-graduan ini bakal diserapkan ke dalam ATM sebagai kapten atau setaraf dengannya dan akan terus berperanan memperkasakan lagi ATM dengan semangat waja yang mereka miliki sewaktu menuntut di UPNM,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena mengumumkan istiadat konvokesyen universiti tersebut di sini hari ini.
Jelasnya, walaupun UPNM merupakan sebuah universiti awam, namun ia mempunyai keunikan tersendiri kerana mahasiswanya bukan sekadar menjalani proses pembangunan intelek malah dilengkapi latihan rutin ketenteraan dan budaya rejimen.
Tambahnya, penyampaian ijazah sarjana muda kepada 148 graduan yang terdiri daripada 144 pegawai kadet dan empat pelajar awam itu dapat mewujudkan lebih ramai lagi modal insan yang bernilai tinggi.
''Saya berharap istiadat konvokesyen sulung ini dapat menarik minat ibu bapa, pelajar dan seluruh rakyat Malaysia secara umumnya untuk mengenali UPNM secara lebih dekat kerana universiti ini mampu melahirkan generasi yang intelektual, berdisiplin dan bersedia mempertahankan negara,'' ujarnya.
Turut dilangsungkan pada majlis tersebut adalah penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) kepada Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengajian Peperangan; Operasi Melawan Insurgensi) kepada Pegawai Waran 1 (B) Temenggong Kanang Anak Langkau.
Seramai empat graduan dipilih untuk mendapat anugerah khas iaitu Mohd. Khalis Zainudin (Pingat Emas Canselor), Mohd. Yusri Mohd. Yunos (Pingat Emas Naib Canselor), Norkhairunisa Kamarul Amran (Pingat Khas Senat) dan Nuraini Zulkifli (Pingat Khas Sapura).

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails