Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, November 9, 2010

Ramai tinggalkan kota Yogyakarta, debu Merapi sampai di Bandung

DEBU Merapi sudah sampai dan meliputi bandar Muntilan, Jawa Tengah.

YOGYAKARTA: Semakin ramai penduduk Yogyakarta lari dari kota itu dengan menaiki kereta api dan bas termasuk kenderaan sewa bagi mengelak menjadi mangsa gunung berapi Merapi yang debunya dilaporkan sudah sampai di Bandung.

Yogyakarta yang mempunyai 400,000 penduduk, terletak 30 kilometer dari Merapi dan sudah diselimuti debu gunung berapi itu yang meletus lebih dua minggu lalu.
Sekurang-kurangnya 280,000 penduduk yang tinggal sekitar 20 kilometer dari Merapi sudah pindah ke tempat perlindungan sementara.
“Merapi terletak 550 kilometer dari Jakarta dan debunya sudah ditiup ke sebelah barat hingga kota Bandung, 400 kilometer dari gunung itu,” lapor Jakarta Post.

Gambar majlis pengebumian beramai-ramai membabitkan 141 penduduk yang terbunuh kerana letusan Merapi menjadi peringatan kepada mereka.

“Ibu bapa saya menghubungi saya dan menyuruh saya perlu keluar dari sana. Mereka berkata, saya perlu pulang ke rumah!” kata Linda Ervana, 21 pelajar sejarah yang menantikan bersama rakannya di sebuah stesen kereta api di bandar universiti itu.

Selepas gagal mendapatkan tiket, mereka akhirnya memutuskan untuk menyewa sebuah bas mini bersama rakan sekelasnya yang lain. 
“Ia seperti dalam filem 2012,” kata rakannya yang berusia 22 tahun, Paulina Setin. “Seperti satu bencana dalam sebuah filem.”

Gunung berapi terbabit dilaporkan meletup paling kuat dalam tempoh seabad Jumaat lalu dengan mengeluarkan gas panas, batuan dan debu yang mengalir dengan laju, menutupi seluruh kampung dan menyebabkan tanaman musnah terbakar.

Kebimbangan mengenai bahaya kena debu gunung berapi terbabit menyebabkan banyak penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke ibu negara Indonesia, Jakarta, beberapa hari sebelum rancangan lawatan Presiden Barack Obama ke negara itu, perhentian kedua dalam lawatan 10 hari beliau ke Asia.

Kebanyakan syarikat penerbangan meneruskan semula operasi mereka semalam manakala pegawai Rumah Putih berkata bahawa Obama masih dijadualkan meneruskan lawatan mulai hari ini.

Merapi adalah antara gunung berapi paling aktif di dunia dan meletus beberapa kali sejak beberapa abad lalu membunuh lebih 1,400. Tetapi, letusan Jumaat lalu disifatkan paling kuat sejak 1930 apabila hampir 100 nyawa melayang.

Pihak berkuasa memberikan masa tiga hari kepada keluarga mangsa untuk mengenal pasti jenazah orang yang mereka sayangi.

Untuk mempercepatkan proses, kebanyakan keluarga bersetuju anggota keluarga mereka dikebumikan secara beramai-ramai. – AP/Agensi 

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails