Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, March 24, 2011

Bencana alam vs kelalaian manusia

TOKYO - Hanya sebulan sebelum gempa kuat dan tsunami merosakkan loji Fukushima Daiichi yang menjadi fokus krisis nuklear di Jepun, kerajaan negara itu meluluskan tempoh tambahan 10 tahun bagi penggunaan reaktor di loji itu walaupun selepas diberi amaran mengenai tahap keselamatannya. 

Jawatankuasa penyelia yang menilai pemanjangan tempoh penggunaan reaktor itu sedar mengenai retakan pada penjana elektrik di reaktor No.1, menurut rumusan penilaian yang dimuat naik ke laman sesawang agensi nuklear Jepun selepas setiap kali pemeriksaan dijalankan. 

Retakan itu menyebabkan enjin penjana terdedah kepada risiko karat disebabkan air laut dan hujan dan akhirnya penjana itu rosak selepas dilanda tsunami 11 Mac lalu, menyebabkan sistem penyejukan penting di reaktor gagal berfungsi. 

Sejak itu, syarikat Tokyo Electric Power (Tepco) yang mengendali loji itu bertungkus lumus memastikan reaktor yang mula memanas tidak mengeluarkan sebarang bahan radioaktif. 

Beberapa minggu selepas tempoh pemanjangan diluluskan, Tepco mengakui syarikat itu gagal memeriksa 33 alatan yang berkaitan dengan sistem penyejukan, termasuk pam air dan penjana elektrik di keenam-enam reaktor di loji itu. 

Menurut penyelia kerajaan, pengurusan penyelenggaraan dan kualiti pemeriksaan di loji itu tidak mencukupi. 

Dan kurang dua minggu selepas laporan itu dikeluarkan, gempa bumi dan tsunami mencetuskan krisis nuklear di loji penjana tenaga itu. 

Keputusan untuk memanjangkan jangka hayat reaktor dan kegagalan pemeriksaan menyeluruh di semua enam reaktor membuktikan hubungan tidak sihat antara pengendali loji nuklear dan pegawai kerajaan. 

Panel pakar yang meluluskan pemanjangan penggunaan kebanyakannya adalah ahli akademik dan jarang mencabar agensi yang mengupah mereka. 

Disebabkan tentangan daripada orang awam menyukarkan pembinaan loji nuklear baru, pengendali loji nuklear kerap melobi untuk memanjangkan jangka hayat reaktor melebihi had 40 tahun yang dibenarkan walaupun mengetahui terdapat isu keselamatan. 

Kerajaan pula yang ingin mengembangkan penggunaan tenaga nuklear dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan mentah selalunya akan menyebelahi pengendali loji. 

Kelulusan bagi pemanjangan jangka hayat tempoh reaktor nuklear dilihat mula menjadi perkara biasa di seluruh dunia. 

Dalam tempoh sedekad lagi di Jepun, 13 reaktor - dan lima reaktor di loji Fukushima Daiichi - akan mencecah usia 40 tahun, membabitkan kos penggantian reaktor yang sangat tinggi. 

Menurut pengkritik, ini adalah salah satu sebab mengapa jawatankuasa penyelia yang memeriksa loji yang sudah berusia menolak tepi aspek keselamatan. 

Jurutera, Mitsuhiko Tanaka yang mereka bentuk reaktor di loji Fukushima Daiichi berkata, reaktor di loji itu sudah ketinggalan zaman. 

"Sudah tiba masanya reaktor itu diganti. Memang tsunami menyebabkan kerosakan teruk kepada reaktor tetapi alatan yang sudah lama di reaktor itu memburukkan lagi keadaan," katanya. 

Jepun berhadapan dengan krisis nuklear terburuk negara itu sejak Perang Dunia Kedua apabila gempa sekuat 9.0 pada skala Richter melanda utara negara itu, 11 Mac lalu. 

Sejak itu, sekurang-kurangnya empat letupan dan dua kebakaran berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi selain lebih 9,000 penduduk dilaporkan terkorban dalam bencana itu.

1 comment:

si pembawa sinar said...

aku lawat ko ni...meh la lawat aku

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails