Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, March 28, 2011

Makanan bebas radioaktif

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kerajaan hari ini mengesahkan makanan yang diimport dari Jepun dan kini dijual di pasaran negara ini bebas daripada pencemaran bahan radioaktif.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, rakyat tidak perlu khuatir kerana pemantauan oleh Kementerian Kesihatan mendapati tiada produk makanan yang diimport dari negara itu dicemari bahan tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari semasa ke semasa dari negara itu.

"Kementerian Kesihatan meminta rakyat negara ini untuk tidak khuatir tentang keselamatan makanan kerana sehingga kini tiada produk yang diimport dari Jepun tercemar dengan radioaktif,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mingguan Malaysia pula hari ini melaporkan Malaysia menggantung pengimportan 11 produk pertanian dari Jepun termasuk bayam dan brokoli kerana disahkan telah dicemari bahan radiasi nuklear.

Sementara itu Ongkili berkata, kementeriannya masih meneruskan pemantauan secara aktif berhubung kemalangan nuklear di Jepun dan impaknya kepada negara ini.

Beliau berkata, pemantauan itu dilakukan melalui Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Meteorologi dan Malawakil Vienna, Wisma Putra.

Katanya, Kementerian Kesihatan pula akan terus memantau dari segi keselamatan makanan yang diimport dari Jepun.
"Pemantauan juga dilakukan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara dan tahapnya ketika ini masih pada paras normal,'' katanya.

Dalam kenyataan yang sama Ongkili memberitahu, pemantauan juga melibatkan anak kapal serta penumpang kapal terbang dari Jepun ke Malaysia.

"Sehingga kini pemantauan dilakukan ke atas 56 penerbangan dari Jepun ke Malaysia.

"Seramai 29 individu telah datang ke AELB dan Agensi Nuklear Malaysia mendapatkan khidmat pemantauan cemaran dan sehingga hari ini kita belum mengesan sebarang dedahan melebihi paras normal,'' katanya.

Menurut Ongkili Maximus, maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh dirujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi AELB melalui talian hotline AELB 1 800 88 7999 atau nombor telefon pejabat 03-89225848 atau emel MNR-Customer@aelb.gov.my.

Mengenai kedudukan terkini keadaan di Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, beliau berkata, berdasarkan maklumat terkini ia telah menunjukkan kesan positif hasil beberapa tindakan oleh kerajaan negara berkenaan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails