Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, April 12, 2011

1.65 juta rakyat Malaysia pembawa kuman Hepatitis B

KUALA LUMPUR 11 April - Kira-kira lima peratus atau 1.65 juta rakyat Malaysia dikesan menjadi pembawa kuman Hepatitis B yang mampu menjangkiti orang lain serta membunuh secara senyap.

Profesor Perubatan dan Perunding Hepatology Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Rosmawati Mohamed berkata, kira-kira 350 juta penduduk di Asia tinggal bersama dengan pembawa kuman Hepatitis B yang kronik serta lebih mudah berjangkit berbanding HIV.

Tambahnya, Hepatitis B kronik merupakan salah satu ancaman utama kesihatan di seluruh dunia dengan kira-kira 1.5 juta kematian akibat penyakit itu dianggarkan setiap tahun.

"Setiap seorang daripada 12 orang di seluruh dunia hidup bersama dengan pembawa kuman ini dan Malaysia tidak terkecuali daripada bahaya kuman ini yang merosakkan hati manusia.

"Tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah menjadikan situasi ini sebagai kritikal kerana mereka tidak sedar sama ada dijangkiti atau tidak oleh kuman ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan mengenai tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap Hepatitis B dan C bersempena Hari Hepatitis Sedunia 2011 yang bermula dari 23 sehingga 28 Julai depan.

Tambah Rosmawati, PPUM akan bekerjasama dengan semua hospital kerajaan dan swasta untuk menjalankan kempen secara besar-besaran bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit hepatitis.

Katanya, pelbagai aktiviti kesihatan akan dijalankan di setiap hospital utama di setiap negeri supaya dapat disebarkan ke segenap lapisan masyarakat.

"Orang ramai berpeluang membuat ujian saringan untuk menguji sama ada mereka dijangkiti atau tidak sepanjang kempen ini ia dijalankan secara percuma. Pemeriksaan awal amat penting untuk rawatan sebelum penyakit itu mencapai tahap kronik," jelasnya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails