Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, April 21, 2011

Ganti MyKad secara online

PUTRAJAYA 20 April – Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan penekanan ke atas nilai perkhidmatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini menawarkan perkhidmatan permohonan gantian MyKad secara dalam talian melalui portal rasmi jabatan itu di www.jpn.gov.my.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, kaedah tersebut merupakan salah satu cara penyampaian perkhidmatan mengikut peredaran masa.

“Permohonan dalam talian merupakan kaedah alternatif yang efektif di mana pemohon tidak perlu hadir ke kaunter untuk mengemukakan permohonan pengantian MyKad.

“Terdapat tiga jenis permohonan gantian MyKad yang boleh dipohon orang ramai secara dalam talian iaitu gantian disebabkan cip dan kad rosak, gantian biasa dan gantian bagi MyKad hilang tidak melebihi lima kali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang JPN 2010 di sini, hari ini.

Menurut Abu Seman, tempoh siap MyKad adalah sama dengan proses biasa dan melalui sistem itu juga pemohon boleh memilih mana-mana pusat kutipan MyKad mengikut pilihan masing-masing.

“Bayaran permohonan bagi penggantian dalam talian boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit pada kadar bayaran yang sama seperti penggantian di kaunter biasa.

“JPN juga kini sedang giat merancang untuk memperluaskan mod bayaran melalui kemudahan e-Banking,” katanya.

Abu Seman berkata, semasa menuntut MyKad, pemohon dalam talian perlu membawa resit yang dicetak semasa mengisi permohonan bagi memastikan individu yang menuntut adalah pemilik yang sah.

“Saya percaya perkhidmatan dalam talian juga akan dapat memproses sesuatu permohonan dengan teliti, cepat dan tepat berpandukan kepada keperluan keselamatan dan pembangunan negara,” katanya.

1 comment:

Muhammad Izuan said...

bnda ni patut dah lama ada.

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails