Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, April 22, 2011

Hidangan sihat di kantin sekolah mulai Mei

KUALA LUMPUR 21 April - Garis panduan baru berhubung penyediaan hidangan sihat di kantin sekolah yang sedang dikemas kini dijangka dilaksanakan bulan depan bagi membendung masalah kegemukan pelajar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara perkara dimasukkan dalam garis panduan tersebut adalah kekerapan jualan makanan seperti nasi lemak dan mi goreng di kantin dalam seminggu.

Menurut beliau, ia turut mewajibkan penjaja di luar pagar sekolah mematuhi garis panduan yang melarang penjualan beberapa makanan termasuk asam, jeruk, minuman berkarbonat serta minuman dan makanan manis.

"Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pelajaran kini di peringkat menyediakan draf dan sebanyak 70 jenis makanan disenaraikan untuk hidangan di kantin dalam pelaksanaan garis panduan baru itu.

"Ketika ini sudah ada garis panduan dan senarai makanan yang boleh dijual di kantin sekolah, tetapi bagi memastikan ia mengikut peredaran masa dan keadaan, garis panduan tersebut perlu dikemas kini.

"Kita sedang menunggu pengesahan Kementerian Pelajaran dan mungkin ia dapat dilaksanakan bulan depan. Kegagalan pengusaha kantin mengikuti garis panduan itu akan dikenakan tindakan termasuk ditamatkan kontrak," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Kembara Riang Ria Pemakanan di Sekolah Rendah bagi peringkat kebangsaan di Subang Jaya dekat sini hari ini.

Jelasnya, garis panduan baru itu antara lain bertujuan memupuk sikap pelajar dan murid sekolah supaya memilih makanan berkhasiat.

Tambah beliau, berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kebanyakan kanak-kanak menggemari makanan kurang berkhasiat seperti nasi lemak, mi goreng dan nasi ayam serta makanan segera iaitu burger (34.4 peratus), ayam goreng (26.5 peratus) serta piza.

"Kajian juga mendapati berlaku peningkatan masalah obesiti bagi murid sekolah rendah iaitu daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh amalan pemakanan tidak sihat dan kurangnya aktiviti fizikal," katanya.

Beliau juga memberitahu, kajian UKM turut menunjukkan hanya 70 peratus murid sekolah rendah mengambil sarapan setiap hari dan 10 peratus langsung tidak pernah mengambilnya.

Beliau berharap Kementerian Pelajaran menempatkan Pegawai Zat Makanan di kementerian itu bagi meningkatkan pemakanan sihat di sekolah.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails