Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, April 14, 2011

Kastam dakwa rugi RM2.2 bilion

PETALING JAYA - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menjelaskan bahawa nilai kerugian sebenar yang ditanggung pihaknya akibat kehilangan duti import adalah sekitar RM2.2 bilion daripada RM10 bilion yang sepatutnya dikutip setiap tahun.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, jumlah itu jauh berbeza dengan laporan sebelum ini yang mengaitkan nilai kerugian yang ditanggung oleh pihaknya adalah sebanyak RM108 bilion setahun.
Beliau berkata, angka RM108 bilion itu sebenarnya adalah anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.
"Kami (Kastam) hanya dapat mengutip sejumlah RM7.8 bilion tahun lepas, bermakna kami kerugian lebih kurang RM2.2 bilion lagi," katanya selepas menghadiri seminar kerjasama kastam-sektor swasta di sini semalam.
Beliau berkata, kehilangan RM2.2 bilion atau 23 peratus duti kastam itu bagaimanapun masih rendah dan pada tahap normal serta biasa dialami oleh negara maju lain, yang menetapkan 25 peratus untuk kerugian maksimum.
Mohamed Khalid berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dijangka mengumumkan minggu depan mengenai laporan yang salah melaporkan bahawa wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lepas, sebaliknya wang itu ditemui di beberapa lokasi berlainan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails