Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, April 14, 2011

Kuasa dunia mahu Gaddafi berundur

SEBUAH trak pemberontak yang membawa pelancar roket mengawal pintu masuk ke bandar Ajdabiya, Libya semalam.

DOHA - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi perlu segera meninggalkan negara itu manakala pihak pemberontak yang menentang kepimpinannya perlu diberikan bantuan material, kata para menteri luar kuasa dunia pada persidangan di sini semalam bagi membincangkan masa depan negara Afrika Utara itu.
"Para delegasi sebulat suara dan tegas dalam membuat resolusi ini," kata mereka dalam kenyataan terakhir dan muktamad yang diperoleh agensi berita Reuters.
"Gaddafi dan rejimnya tidak lagi diiktiraf dan beliau perlu menyerahkan kuasa dan membiarkan rakyat Libya menentukan masa depan sendiri," tambah kenyataan itu lagi.
Para menteri luar berkenaan yang akan bersidang sekali lagi pada Mei depan, menyatakan, mereka akan bekerjasama dengan kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bagi mewujudkan mekanisme bantuan kewangan sementara bagi membolehkan NTC menggunakan aset Libya yang telah dibekukan.
Para menteri luar itu terdiri daripada 20 buah negara termasuk Perancis, Belgium, Kuwait, Itali dan Britain selain beberapa pertubuhan antarabangsa yang membincangkan mengenai Libya.
Amerika Syarikat (AS) tidak menghantar Setiausaha Negara, Hillary Clinton tetapi ia dilaporkan menghantar delegasi yang disertai Pengarah Politik Jabatan Negara AS, William Burns.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai pemberontak, Ali Al Isawi mendakwa, tentera yang setia kepada Gaddafi telah membunuh 10,000 orang dalam pertempuran di Libya setakat ini.
Beliau yang mewakili NTC pada pertemuan para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg kelmarin memberitahu, 20,000 lagi rakyat Libya masih hilang manakala 30,000 yang lain cedera dengan satu perempat daripada mereka parah.
Sementara itu, satu letupan kuat didengar di ibu kota Libya, Tripoli semalam tetapi punca letupan masih tidak dapat dipastikan. Stesen televisyen Al Arabiya melaporkan dua letupan berlaku berhampiran lapangan terbang Tripoli.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.
Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails