Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, April 21, 2011

MyDENKit kesan denggi 4 jam

PUTRAJAYA 20 April – Jika sebelum ini doktor mengambil masa lama untuk mengenal pasti sama ada seseorang dijangkiti demam denggi, tempoh itu bagaimanapun berjaya disingkatkan kepada hanya empat jam hasil kemunculan MyDENKit.

Hasil ciptaan saintis Universiti Malaya, Profesor Dr. Shamala Devi Sekaran itu bukan sahaja membuka lembaran baru dalam bidang diagnostik denggi tetapi turut memanfaatkan kira-kira 2.5 juta penduduk dunia yang terdedah kepada jangkitan virus itu.

Dr. Shamala berkata, MyDENKit membolehkan pemeriksaan yang cepat, spesifik dan sensitif dilakukan untuk mengenal pasti demam denggi secepat mungkin.

“Pengesanan penyakit demam denggi lebih awal membolehkan pesakit menerima rawatan yang betul sekali gus dapat menyelamatkan nyawa.

“Selain membolehkan pengesanan segera, MyDENKit juga dapat mengesan secara tepat kesemua empat jenis virus denggi walaupun pada peringkat awal jangkitan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

MyDENKit merupakan salah satu inisiatif penjanaan kekayaan baru yang diumumkan oleh Unit Inovasi Khas (Unik) semalam di bawah kategori hak harta intelek dari universiti dan institusi penyelidikan awam.

Dr. Shamala berkata, MyDENKit dapat memberi sumbangan besar kepada dunia perubatan sekiranya pengamal perubatan mempunyai keyakinan terhadap produk tempatan.

“Banyak hospital nampaknya masih berpendapat bahawa produk pengesanan dari negara maju seperti Australia sebagai lebih baik dan mereka masih tidak menerima MyDENKit.

“Hakikatnya produk ini terbukti amat berkesan dalam diagnostik denggi, penggunaan MyDENKit juga dapat menjimatkan kos,” katanya.

MyDENKit sejak dihasilkan mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa termasuk meraih pingat emas dalam pameran di Geneva pada 2005.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails