Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Wednesday, April 27, 2011

Waspada kapsul gelatin babi

KUALA LUMPUR 26 April – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih produk berkaitan farmaseutikal kerana kajian bioteknologi menunjukkan 15 peratus produk yang dibungkus dengan kapsul gelatin sebenarnya diperoleh daripada sumber babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam hubungan ini, pihak pembekal dan pengilang perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan produk yang dikeluarkan perlu mempamerkan label kandungan bahan yang digunakan.

Kata beliau, berdasarkan akta sedia ada, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang menjual produk seumpama itu.

“Tindakan hanya boleh diambil oleh Jakim jika produk berkenaan mempunyai logo halal atau apa-apa yang membawa maksud sama. Bagaimanapun, di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, setiap produk perlu mengisytiharkan sumber bahannya pada label.

“Kementerian tetap berusaha untuk menghalang situasi tersebut. Justeru itu, kita akan menggiatkan promosi maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan akta halal yang kini dalam proses diperkemaskan sebelum dibentangkan nanti,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, sehingga kini sebanyak 141 syarikat farmaseutikal telah mendapatkan sijil halal bagi produk mereka dan orang ramai khususnya umat Islam boleh membuat semakan melalui laman web www.halal.gov.my.

“Kita tahu ramai yang keliru dengan label-label yang ada pada setiap produk kerana ia menggunakan istilah sains seperti porcine.

“Bagi mereka yang tidak tahu, ramai yang tidak mengendahkannya walhal istilah itu sebenarnya menunjukkan ia mengandungi bahan daripada babi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menjawab soalan berkaitan berkata, selain tuntutan agama Islam bahawa kandungan babi adalah bahan yang diharamkan, sumber bahan itu juga boleh mengakibatkan alahan kepada pemakai.

Kata beliau, kementerian boleh menggantung dan membatalkan lesen pembekal atau pengilang yang gagal memberi maklumat tentang kandungan ubat dan yang memberikan maklumat palsu.

Menurutnya, dasar kementerian adalah untuk memastikan produk yang dipasarkan dalam negara adalah produk yang berdaftar dengan kementerian melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan bahagian penguat kuasa farmasi.

“Setakat ini kementerian bersedia untuk mengkaji logo halal bagi semua produk yang dikeluarkan oleh kementerian.

“Dalam pada itu juga, kita menggalakkan masyarakat untuk membuat rujukan terhadap notifikasi produk yang dipasarkan dengan laman web kementerian,” kata beliau.

Rosnah menjawab soalan ahli Dewan Negara, Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg yang menyatakan bahawa produk kesihatan dan kosmetik yang terdapat di pasaran mengandungi bahan yang memudaratkan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails