Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, May 26, 2011

Cepatkan tempoh bertindak kereta peronda

SHAH ALAM 25 Mei - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mahu tempoh bertindak kereta peronda polis dipercepatkan daripada masa yang ditetapkan sekarang iaitu tidak melebihi 12 minit.

Sebagai contoh, katanya, masa bertindak sesebuah kereta peronda yang berada dalam satu kilometer dari tempat kejadian perlu sampai ke lokasi tidak melebihi empat minit daripada masa laporan diterima.

"Ini adalah satu cabaran yang boleh jadi kenyataan. Ia tidak mustahil untuk dicapai, jika ada kesungguhan dan komitmen anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang diamanahkan untuk menjalankan tugas tersebut," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan 10 kereta Proton Inspira oleh Proton Holdings Bhd. kepada polis di sini.

Sambil menghargai sumbangan Proton untuk kereta Inspira 1.8 liter manual sebagai kereta peronda (MPV), Ismail berkata, keperluan logistik iaitu kereta peronda adalah penting bagi melaksanakan tugasan harian polis dengan cepat, berkesan dan efisien kerana ia merupakan barisan hadapan PDRM.

Ismail berkata, jumlah MPV yang mencukupi sangat penting kerana faktor ini boleh meningkatkan kehadiran polis di sesuatu tempat bagi meningkatkan keberkesanan mencegah jenayah serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, Proton telah menjalin kerjasama dengan PDRM sejak 1985 bermula dengan model Proton Saga yang dijadikan kereta peronda dan sehingga kini sebanyak 3,752 model kereta Proton telah digunakan di seluruh negara sebagai kereta peronda.

''Proton dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PDRM telah bekerjasama dalam menghasilkan prototaip kereta peronda polis yang diubah suai daripada Proton Inspira.

"Program ini dijalankan setelah mengambil kira keperluan PDRM untuk menggantikan 3,647 kereta peronda yang telah mencapai had usia penggantian yang diperoleh sejak 2006," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ismail berkata, PDRM memiliki pemandu mahir yang memerlukan kereta setanding bagi 'menakutkan' penjenayah. - BERNAMA

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails