Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, May 3, 2011

Hanya 320 penderma organ sejak 1997

KUALA LUMPUR 2 Mei – Hanya 320 daripada 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk melakukan pendermaan organ dari 1997 hingga Mac lalu dapat menunaikan hasrat mereka berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, daripada jumlah tersebut 187 penderma adalah orang Cina, 84 (India) dan 17 (Melayu) dan lain-lain seramai 32 orang.

“Situasi itu berlaku disebabkan oleh halangan daripada ahli keluarga yang tidak membenarkan organ pengikrar penderma organ diambil selepas mereka mati atau meninggal dunia.

“Saya ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia yang ingin berikrar sebagai penderma organ supaya memaklum serta memberikan penjelasan kepada ahli keluarga tentang niat murni ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, jumlah 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk menderma organ itu masih lagi kecil iaitu hanya 1.6 peratus daripada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu katanya, pengikrar penderma organ dari kalangan orang Cina ialah 91,949, India (39,487), Melayu (26,648 orang) dan lain-lain seramai 4,540 orang.

“Dan daripada jumlah keseluruhan pengikrar penderma organ itu, golongan muda dalam lingkungan umur 21 hingga 30 merupakan golongan yang paling ramai mendaftar iaitu seramai 59,593 orang,” katanya.

Menurutnya, bilangan pengikrar penderma organ orang Melayu juga semakin meningkat di mana dari Januari hingga Mac lalu, jumlah yang sudah mendaftar ialah 2,642 orang berbanding 2,829 orang untuk sepanjang tahun lalu.

“Kita menggunakan pendekatan agama melalui program kesedaran pendermaan organ yang dilaksanakan dengan kerjasama badan-badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Persatuan Buddha, Persekutuan Kristian dan Persatuan Hindu Sangam,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, buah pinggang merupakan antara organ yang begitu diperlukan kerana terdapat lebih 11,000 pesakit yang kini dalam tempoh menunggu untuk mendapatkan buah pinggang baru.

“Jadi, jalan yang paling sesuai bagi membantu mereka yang memerlukan organ adalah meningkatkan lagi kesedaran dan kesediaan masyarakat terutama ahli keluarga untuk menderma organ,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails