Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, May 27, 2011

Kadar tarif elektrik diputuskan hari ini

CYBERJAYA: Keputusan sama ada kadar tarif elektrik dinaikkan atau sebaliknya akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan (NEC) hari ini yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata ia berikutan keputusan Kabinet kelmarin yang menyerahkan kepada NEC untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

Selain Najib selaku Menteri Kewangan, NEC turut dianggotai 12 lagi ahli termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Jumaat ini (hari ini) NEC akan bermesyuarat dan kita tunggu keputusan mereka kerana Kabinet sudah menyerahkan kepada NEC untuk memutuskan perkara berhubung tarif elektrik,” katanya selepas melancarkan pertandingan ‘Dare 2 Dream Challenge 2011’, sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2011 di sini, semalam. 

Isnin lalu, Fah Kui dilaporkan berkata, semakan tarif elektrik itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin selepas timbulnya khabar angin bahawa kerajaan membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaikkan kadar tarif elektrik. 

Sebelum ini, Najib berkata, Kabinet belum membuat keputusan cadangan semakan terhadap tarif elektrik, malah kerajaan perlu mengkaji pelbagai sudut, termasuk beban kepada pengguna jika ia dilaksanakan. 

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bahawa projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 bernilai RM1 bilion, iaitu lebih mahal dari anggaran pasaran, Fah Kui berkata, projek itu masih pada peringkat perbincangan kerana ia membabitkan kerjasama antara negara ini dan Kerajaan China. 

“Saya tidak tahu di mana beliau (Nurul Izzah) mendapat maklumat itu (kos) kerana projek itu masih pada peringkat perbincangan,” katanya. 

Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan berhubung projek Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 dalam laman webnya disiarkan Selasa lalu, antara lain menyatakan kos asal projek itu dianggarkan RM500 juta, namun dilaporkan meningkat kepada RM1 bilion. 

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi penjelasan berhubung perkara itu bagi mengelakkan berlaku penyalahgunaan wang rakyat. 

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails