Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, May 11, 2011

Kontrak Ketua Polis Negara dilanjut dua tahun

KUALA LUMPUR 10 Mei - Tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang berakhir 17 Mei ini, dilanjutkan selama dua tahun selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berharap lanjutan tersebut diharap mampu memberi ruang dan peluang mencukupi kepada Ismail untuk terus berkhidmat menyumbang bakti yang berkualiti.

"Saya berharap gandingan mantap Ismail serta timbalannya, Datuk Khalid Abu Bakar yang juga baru dilantik dapat memastikan apa juga perancangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara dapat direalisasikan.

"Bagi saya, tempoh singkat lapan bulan beliau (Ismail) memegang jawatan Ketua Polis Negara tidak membolehkannya untuk melakukan pelan pembaharuan strategik menyeluruh," katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail, 58, mula berkhidmat dalam PDRM sebagai Inspektor Percubaan pada 15 Disember 1971 dan pernah memegang pelbagai jawatan lain sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 November 2007.

Beliau yang berasal dari Kulim, Kedah dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pernah diberi tanggungjawab memegang jawatan Ketua Polis Selangor mulai 16 Oktober 2006 sebelum dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan pada 25 Jun 2007.

Ismail, memulakan tugasnya sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September tahun lalu apabila dinaikkan pangkat bagi menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

Sepanjang tempoh itu, Ismail memperkenalkan semula pendekatan Konsep 4P iaitu Pelindung, Proaktif, Prestasi dan Penumpuan.

Hishammuddin berkata, Ismail dijangka mengumumkan pelantikan kekosongan pengarah-pengarah PDRM bagi memperkemaskan lagi pengurusan dan pentadbiran yang sedia ada.

"Dengan penstrukturan baru ini, pasukan polis diharap mampu menentu hala tuju yang lebih jelas bagi membantu menjayakan dasar-dasar kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam mengurangkan jenayah di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana menerima penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis Dan Pingat Keberanian Polis Tahun 2011 daripada Tuanku Mizan di Istana Negara pagi semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Hussin Ismail yang menamatkan perkhidmatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru-baru ini.

Pada 14 April lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Khalid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Hussin yang bersara wajib.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails