Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, May 30, 2011

Program Perumahan Mampu Milik diperluas

PULAU PINANG 29 Mei - Program Perumahan Mampu Milik yang bakal dilancarkan oleh kerajaan pada Julai ini akan diperluaskan secara besar-besaran ke seluruh negara bagi membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah.

Pada masa sama, kerajaan juga akan menyediakan dana khas bagi menaiktaraf kemudahan infrastruktur di rumah-rumah pangsa di seluruh negara yang mengalami masalah pengurusan penyelenggaraan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program perumahan mampu milik itu akan dilaksanakan melalui kerjasama pihak swasta bagi menawarkan harga rumah yang lebih berpatutan kepada golongan berkenaan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Run Razak sudah bersetuju untuk memperluaskan program tersebut ke seluruh negara dan usaha mencari tapak sesuai bagi pelaksanaan projek berkenaan sudah mula dijalankan.

''Buat permulaan, kita akan mulakan di Wilayah Persekutuan dan kita sudah mengenalpasti dua kawasan dengan kerjasama pihak swasta. Perdana Menteri sudah bersetuju supaya kita perluaskan ke seluruh negara.

''Jadi kalau di Pulau Pinang misalnya, kita akan mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai dan jika ada pihak swasta mahu bekerjasama, kita akan bina dan bangunkan rumah mampu milik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Najib awal bulan lalu mengumumkan Program Rumah Mampu Milik yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Julai ini, bagi memastikan harga rumah untuk Skim Rumah Pertamaku khususnya di Lembah Klang adalah RM220,000 ke bawah.

Perdana Menteri berkata, program baru tersebut diperkenalkan selepas kerajaan mengambil kira keluhan orang ramai termasuk di laman-laman sosial bahawa amat sukar untuk mendapatkan rumah di bawah lingkungan RM220,000 terutamanya di Lembah Klang.

Mengenai dana khas menaiktaraf rumah-rumah pangsa, Muhyiddin berkata, kos bagi tujuan tersebut belum ditentukan tetapi ia akan menumpukan kepada usaha memperbaiki infrastruktur serta kemudahan-kemudahan seperti lif yang rosak.

''Walapupun rumah pangsa tersebut telah dimiliki tetapi kemudahan seperti lif tidak dijaga kerana pengurusan rumah tidak aktif atau penghuni tidak membayar (kos penyelenggaraan). Ini banyak juga berlaku di bandar-bandar dan kita ambil kira.

''Saya belum nak cerita terperinci tetapi secara prinsipnya satu dana khas akan disediakan walaupun ia (unit rumah pangsa) milik swasta atau individu. Berapa jumlahnya, kita akan tentukan kemudian," jelasnya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails