Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, June 15, 2011

Dua juta tiada kad pengenalan

PUTRAJAYA 14 Jun - Hampir dua juta rakyat tempatan dan asing yang dikesan masih belum mempunyai sebarang kad pengenalan diri digesa mendaftar segera bagi mengelakkan dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ini terutama selepas penguatkuasaan sepenuhnya sistem biometrik dalam masa terdekat ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap berkata, terdapat banyak kes terutamanya penduduk di kawasan pedalaman dikesan tidak mendaftar sebagai warganegara kerana tidak mempunyai kemudahan berbuat demikian.

Katanya, kerajaan sedia membantu golongan tersebut mendapatkan pengenalan diri tetapi dengan syarat tampil bersama bukti pengesahan kelahiran.

"Pihak yang masih belum mendaftar boleh datang ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memohon sebagai warganegara yang sah dan kita akan proses dalam tempoh kurang setahun.

"Kita bimbang jika golongan ini tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, status mereka akan menjadi sama seperti PATI," katanya selepas majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 157 orang dianugerahkan taraf kewarganegaraan melalui permohonan di bawah perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan program MyDaftar.

Raja Azahar berkata, melalui pelaksanaan sistem biometrik juga, warganegara asing yang masuk secara tidak sah akan diminta mendaftar bagi mengelakkan hukuman tegas diambil.

"Kita khuatir jika tidak laksanakan sistem biometrik ini, akan ada PATI mendakwa lahir di Malaysia walaupun baru masuk ke negara ini.

"Justeru, melalui pelbagai pendekatan yang kerajaan ambil ini, masalah berkaitan PATI dan penduduk tempatan yang tidak mempunyai pengenalan diri akan dapat diselesaikan walaupun mengambil masa," katanya.

Ditanya mengenai pengurniaan taraf kewarganegaraan kepada rakyat asing yang dikaitkan dengan pilihan raya umum dalam waktu terdekat ini, Raja Azahar berkata, kenyataan tersebut tidak tepat kerana setiap warga asing yang layak boleh memohon dengan kerajaan.

"Ia bukan proses mudah, kerajaan beri hanya kepada rakyat asing yang lulus temu duga dan perlu menetap di Malaysia dalam tempoh ditetapkan iaitu 12 tahun," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails