Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, September 23, 2010

Kertas siasatan kes dikembali

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Harapan rakyat Malaysia untuk melihat suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki diheret ke mahkamah segera tidak kesampaian apabila kertas siasatan awal berhubung kes itu yang diserahkan kepada Peguam Negara semalam dikembalikan semula.
Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah berkata, kertas siasatan itu dikembalikan setelah Peguam Negara mendapati banyak lagi perkara yang perlu dibuat siasatan lanjut.
Beliau turut mengesahkan kertas siasatan berhubung pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara semalam.
"Peguam Negara telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan oleh pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-suspek berkenaan.
"Kertas siasatan telahpun dikembalikan kepada pihak polis pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien mengesahkan kertas siasatan awal berhubung kes pembunuhan tragis Sosilawati dan tiga yang lain telah diserahkan kepada Peguam Negara di Putrajaya.
Hishammuddin memberitahu, pihak polis akan mengadakan perbincangan bersama Peguam Negara bagi meneliti dan menilai apa yang perlu dilaksanakan berhubung kes terbabit.
Bagaimanapun, katanya, laporan lengkap termasuk keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan hanya dapat diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, pihaknya tiada masalah untuk meneruskan siasatan lanjut dalam kes tersebut bagi menyempurnakan kertas siasatan seperti dikehendaki Peguam Negara.
"Memang kertas siasatan awal itu diserahkan kepada Peguam Negara untuk tujuan dibincangkan bagi memperbetulkan apa-apa perkara yang perlu.
"Ia prosedur biasa dan kita tiada masalah untuk menjalankan siasatan lanjut bagi menyempurnakan kertas siasatan tersebut," ujarnya namun enggan mengulas mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.
Sosilawati, 47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan usahawan wanita itu, polis pada 9 dan 10 September lalu, menahan lapan suspek termasuk seorang peguam yang menggunakan gelaran Datuk bagi membantu siasatan kes itu.
Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abu mangsa dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.
Jumaat lalu, polis memaklumkan siasatan berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain kini di peringkat terakhir dan dijangka selesai minggu ini.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails