Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, September 21, 2010

Kes Sarina, Sosilawati tiada kaitan - Polis

BUKIT MERTAJAM 20 Sept. - Siasatan awal polis mendapati kematian pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar, Sabtu lalu, tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis sudah mendapatkan beberapa keterangan termasuk daripada ahli keluarga serta anak-anak Sarina dan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan kematian usahawan wanita itu dengan pembunuhan Sosilawati.
''Siasatan polis mendapati tiada keterangan atau bukti yang menunjukkan kematian Sarina bersabit dengan perbuatan jenayah tetapi siasatan akan diteruskan sehingga kes dirujuk kepada pihak pendakwaraya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sarina, 45, yang juga rakan Sosilawati ditemui mati tergantung di bilik tidur rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini kira-kira pukul 8.30 pagi Sabtu lalu oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.
Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Laporan akhbar hari ini memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bahawa polis akan menyiasat sama ada kematian pemilik syarikat SBJ Aveer (M) Sdn. Bhd. itu ada kaitan dengan kes pembunuhan Sosilawati.
Anak saudara Sarina, Naimah Sahid, 32, dipetik akhbar sebagai berkata, kematian wanita itu adalah akibat tekanan perasaan ekoran masalah keluarga yang dihadapinya malah pernah cuba membunuh diri sebelum ini dengan mengelar pergelangan tangannya.
Sarina yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 24 tahun hasil perkahwinan pertamanya merupakan usahawan kosmetik berjaya di negeri ini.
Selepas bercerai dengan suami pertama, Sarina bernikah kali kedua lima tahun lalu.
Sementara itu, Ayub meminta semua pihak termasuk media supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis.
''Kita tidak mahu laporan berbentuk spekulasi mengganggu siasatan polis, sekiranya ada maklumat biarlah ia mendapat pengesahan daripada pihak polis terlebih dahulu," ujarnya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails