Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, September 30, 2010

Sejuta bakat, profesional 'lari' ke luar negara

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Penghijrahan hampir satu juta bakat termasuk separuh daripadanya adalah profesional tempatan ke luar negara perlu dipandang serius kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020.
Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh 18 bulan sejak Januari 2008 berbanding 140,000 pada tahun sebelumnya.
Difahamkan kebanyakan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat, Eropah terutamanya United Kingdom dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Datuk Zafrul Aziz berkata, penghijrahan itu menyebabkan sektor-sektor ekonomi negara terutama dalam industri kewangan sukar mendapat bakat-bakat yang diperlukan.
Menurutnya, meskipun banyak alasan yang diberikan sebagai penyebab penghijrahan itu tetapi satu faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah tawaran gaji yang lebih lumayan.
Beliau berkata, profesional lepasan universiti dalam industri kewangan di Malaysia secara puratanya ditawarkan gaji permulaan sebanyak AS$750 (RM2,250) sedangkan di Indonesia golongan berkenaan boleh meraih AS$850 (RM2,618) dan Singapura AS$1,200 (RM3,696) sebulan.
''Jika perkara ini tidak diatasi segera, bagaimana kita boleh bersaing dengan negara-negara serantau ini?'' katanya pada sesi perbincangan di Forum CEO 2010 di sini hari ini.
Beliau turut membangkitkan kemerosotan prestasi universiti tempatan di kalangan universiti dunia.
''Universiti Malaya kini di tempat ke-42 berbanding 39 sebelum ini, begitu juga dengan Universiti Kebangsaan Malaysia di kedudukan ke-55 daripada 51.
''Sedangkan Singapura di tempat ketiga dan Amerika Syarikat di kalangan tempat lima terbaik. Jika begini bagaimana graduan kita mahu bersaing, setidak-tidaknya dengan Singapura, Indonesia dan Thailand,'' tambahnya.
Tengku Zafrul berkata, negara juga perlu mengkaji dan melihat semula mengapa negara ini semakin hilang daya saing dan ketelusan.
Buktinya, kata beliau, pada tahun 2008/09, Malaysia berada pada kedudukan ke-21 dalam aspek tersebut dan prestasi terus merosot di tangga ke-24 pada 2009/10, sedangkan negara pesaing terdekat, Singapura terus selesa di tempat keenam.
Selain itu, beberapa masalah lain perlu diberi perhatian termasuk masalah birokrasi dan fokus menangani perlakuan terlebih peranan serta tidak menggunakan sepenuhnya sistem berdasarkan merit.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails