Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, October 1, 2010

Tengku Fakhry dilucut gelaran Temenggong

KOTA BHARU 30 Sept. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan gelaran Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) daripada adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Turut ditarik balik ialah Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) (Al-Muhammadi I).
Ketika mengumumkan perkara tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd. Aiseri Alias berkata, penarikan balik gelaran dan darjah kebesaran tersebut telah dimaklumkan kepada Tengku Muhammad Fakhry melalui sepucuk surat yang dihantar ke Istana Mahkota, Kubang Kerian, hari ini.
Beliau berkata, surat itu yang ditandatanganinya telah disampaikan sendiri oleh pegawainya, Penolong Setiausaha (Kewangan), Mohd. Rusdi Ismail.
"Surat itu dihantar kira-kira pukul 10 pagi dan disampaikan kepada seorang kakitangan Istana Mahkota," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tengku Muhammad Fakhry merupakan adinda kedua Sultan Muhammad, selain Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Putri.
Mohd. Aiseri berkata, berikutan penarikan balik anugerah dan pelantikan tersebut, semua elaun yang sebelum ini diterima oleh Tengku Muhammad Fakhry turut ditarik balik.
"Baginda ada sebab-sebab sendiri penarikan balik anugerah dan pelantikan tersebut," katanya ditanya sebab penarikan semua gelaran dan darjah kebesaran Tengku Muhammad Fakhry itu.
Sultan Muhammad dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September lalu bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ismail Petra yang gering.
Pelantikan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar mengikut Perkara 29A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails