Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, October 14, 2010

Didakwa bunuh Sosilawati

KUALA LANGAT 13 Okt. - Peguam, N. Pathmanabhan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Tiga lelaki terbabit yang merupakan pekerja ladang milik peguam berusia 41 tahun itu ialah T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Kesemua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Pertuduhan ke atas semua tertuduh terbabit dibuat pada hari ini, genap 45 hari selepas kehilangan pengasas kosmetik Nouvelles Visage itu dan tiga rakannya dilaporkan.
Menurut laporan akhbar sebelum ini, anak sulung jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, membuat laporan polis setelah ibunya dan tiga lelaki terbabit tidak pulang selepas pergi ke Banting atas urusan jual beli tanah.
Pada 13 September lalu, pihak polis mengesahkan keempat-empat mangsa telah dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.
Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Malaysia bagi Pathmanabhan dan bahasa Tamil bagi tiga lagi tertuduh.
Pada prosiding hari ini, Pathmanabhan diwakili empat peguam bela iaitu Ravi Nekoo, Pushpa Ratnam, Datuk Ng See Teong dan Amer Hamzah Arshad manakala ketiga-tiga pekerja ladang itu tidak diwakili peguam bela.
Pendakwaan pula diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan beberapa lagi laporan termasuk laporan forensik dan kimia.
Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan kira-kira pukul 9.05 pagi, Amer Hamzah memohon agar salinan pertuduhan diserahkan kepada mereka dan meminta diberi peluang untuk bertemu dengan anak guamnya.
Peguam itu turut menyuarakan hak tiga lagi tertuduh yang masih belum diwakili peguam bela agar dibantu supaya mereka mendapat pelindungan sewajarnya dari segi undang-undang.
''Saya tidak menjalankan aktiviti menyediakan perkhidmatan guaman kepada mana-mana tertuduh. Itu menjadi tanggungjawab keluarga tertuduh untuk melantik peguam bela. Keluarga mereka juga sudah mengetahui bahawa ahli keluarga mereka telah ditahan,'' ujar majistret terbabit.
Pada ketika ini, Kathavarayan tiba-tiba bersuara dan menyatakan ''Saya mahu angkat (lantik) dia,'' sambil menunjukkan jarinya ke arah barisan pembelaan.
Majistret tersebut bagaimanapun kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemui Pathmanabhan dengan syarat pertemuan itu hanya berjalan selama 10 minit.
Hurman turut membenarkan peguam-peguam bela Pathmanabhan menemui tertuduh-tertuduh yang lain.
Sejurus tamat prosiding, Ravi, Amer Hamzah dan dua lagi peguam tersebut bergegas ke sebuah bilik yang terletak di bahagian sisi bangunan mahkamah untuk menemui anak guam mereka.
Enggan menjelaskan secara terperinci mengenai pertemuan ringkas itu, Ravi sekali lagi menyatakan, barisan peguam yang hadir pada hari ini adalah untuk mewakili Pathmanabhan sahaja.
Adik Pathmanabhan yang sebelum ini turut ditahan reman selama 32 hari akan dibebaskan hari ini yang juga merupakan tarikh terakhir reman, katanya.
Kesemua individu yang dituduh hari ini, adik Pathmanabhan dan tiga lagi lelaki sebelum ini ditahan reman bukan sahaja bagi kes kematian jutawan kosmetik dan rakan-rakannya tetapi juga berkaitan beberapa lagi kes pembunuhan.
Antaranya membabitkan ahli perniagaan dari India, Allal Kathan Muthuraja, 34; ahli perniagaan dari Sungai Petani Kedah, Mohd. Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, S. Theravaraj, 28.
Sementara itu, Amer Hamzah pula menyatakan, pihaknya hanya membantu ketiga-tiga pekerja ladang itu dalam mendapatkan bantuan guaman dan memberikan nasihat sewajarnya di samping memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai perkembangan terbaru kes.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails