Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Saturday, October 2, 2010

Wanita penyumbang utama sektor pekerjaan

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kira-kira 11 juta daripada 13.9 juta penduduk wanita di negara ini menjadi penyumbang utama dalam sektor pekerjaan dengan 45.5 peratus daripadanya terlibat dalam bidang profesional.
Justeru Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu kerajaan sentiasa membantu golongan berkenaan melalui polisi dan program kesamarataan gender.
"Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (UNDP) berkaitan gender menunjukkan pertumbuhan negara kasar mampu meningkat daripada dua peratus kepada empat peratus setiap tahun jika kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat daripada 47 peratus kepada 70 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam gala sempena ulang tahun ke-50 majalah Her World di sini malam ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Blu Inc. Media Sdn. Bhd., Datin Azliza Ahmad Tajuddin.
Pada majlis tersebut, Shahrizat turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang diwakili oleh anaknya, Datuk Paduka Marina Mahathir.
Selain itu, anugerah turut diberikan kepada 50 wanita yang memberi inspirasi kepada negara, antaranya Ketua Cawangan Maklum Balas Kemanusiaan, Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan ahli akademik dan penulis terkenal, Adibah Amin.
Shahrizat berkata, kerajaan sedar tentang kepentingan pembabitan wanita dalam industri pekerjaan, bagaimanapun disebabkan perbezaan gender, wanita sering dikaitkan dengan kerja-kerja rumahtangga dan kebajikan, sedangkan lelaki juga perlu memainkan peranan dalam menjaga rumahtangga dan komuniti.
Beliau berkata, berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh kementeriannya dan UNDP pada 2003, dianggarkan kerja-kerja yang tidak dibayar yang dilakukan oleh wanita bernilai RM75.6 bilion setahun mampu memberi sumbangan dan kesejahteraan kepada negara.
"Melihat kepada perspektif ini, sumbangan wanita kepada negara tidak boleh dinafikan dan seharusnya diberi penghargaan" katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails