Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, November 26, 2010

Warga asing wajib ada insurans

PUTRAJAYA 25 Nov. - Semua pekerja asing di negara ini diwajibkan memiliki insurans kesihatan dengan premium maksimum sebanyak RM120 setahun mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu bagi memastikan kerajaan dapat mengurangkan tunggakan bayaran bil hospital yang kini mencecah RM18 juta.
Malah jumlah itu dijangka meningkat dengan pertambahan kemasukan pekerja asing.
Menurutnya, langkah itu juga merupakan salah satu daripada enam projek permulaan (EPP) dalam segmen penjagaan kesihatan yang dikenal pasti di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi memacu pencapaian ekonomi.
"Majikan perlu membeli insurans ketika melakukan proses permohonan permit sebelum membawa masuk setiap pekerja asing, manakala bagi pekerja asing sedia ada, insurans perlu dibeli ketika membuat urusan pembaharuan permit kerja.
"Kita memandang serius dalam melaksanakan langkah mewajibkan insurans kesihatan pekerja asing kerana tunggakan bil rawatan hospital yang terlalu tinggi. Ada di kalangan mereka yang bayar separuh tetapi ada (juga) yang tidak bayar langsung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.
Laporan akhbar September lalu menyebut, dianggarkan 50 peratus daripada 3.1 juta pekerja asing berdaftar di negara ini tidak dilindungi insurans dan bagi yang memilikinya, perlindungan yang diberikan masih belum memadai.
Sehubungan itu, Makmal Penjagaan Kesihatan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) merangka formula supaya semua pekerja asing diwajibkan mempunyai perlindungan insurans.
Menurut Tiong Lai, kerajaan tidak menetapkan mana-mana syarikat insurans yang terlibat dalam skim insurans pekerja asing itu, sebaliknya ia terbuka kepada semua firma insurans dan majikan boleh membuat pilihan sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain insurans kesihatan, terdapat dua lagi EPP yang telah mula dilaksanakan iaitu mencergaskan semula pelancongan kesihatan dan mewujudkan ekosistem yang menyokong pembangunan penyelidikan.
Katanya, tiga lagi EPP yang masih dalam peringkat perancangan ialah meneroka dan mengejar peluang eksport generik, mewujudkan nexus perkhidmatan diagnostik dan membangunkan metropolis kesihatan iaitu sebuah kampus penjagaan kesihatan dan biosains bertaraf dunia.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails