Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Sunday, December 26, 2010

101 pasangan nikah serentak

KOTA BHARU - Seramai 101 pasangan pengantin dinikahkan secara serentak semalam, sempena Kahwin Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2010 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, semalam. 
Lebih menggembirakan bagi peserta ke 101 dalam program itu ialah, Mohd Wais Wong Abdullah dan isterinya, Siti Muliyana Mohd Nor apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri yang menyempurnakan sendiri majlis akad nikahnya. 
Pasangan mualaf tersebut sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz yang disaksikan kira-kira 3,000 hadirin itu turut menerima hadiah sagu hati daripada Tok Guru. 
Nik Abdul Aziz berkata, program berkahwin secara beramai-ramai ini dilaksanakan adalah untuk memudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak berlakunya gejala tidak sihat. 
“Berkahwin adalah wajib bagi umatnya yang mampu dan sekiranya tidak mampu digalakkan berpuasa bagi mengawal nafsu dan menghindari keburukan. 
“Bagi saya perkahwinan seperti ini dapat dijadikan contoh kepada semua kerana dengan hanya kadar mas kahwin yang murah dan ini tidak akan membebankan kaum lelaki serta mengelak daripada tidak berkahwin kerana dianggap mas kahwin sebagai beban,” katanya, semalam. 
Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran beliau akan meraikan semula 17 pasangan pengantin baru Orang Asli yang dinikahkan serentak, semalam. 
Nik Aziz berkata, perbelanjaan menguruskan majlis keraian itu adalah menggunakan wang beliau sendiri dan tarikh sesuai akan ditentukan oleh pihak Urus setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri (UPWKK). 
“Saya sangat gembira kerana hari ini (semalam) seramai 101 pasangan pengantin dapat dinikahkan secara beramai-ramai dan ini dapat mengelak daripada berlakunya zina seperti yang dibimbangkan sekarang. 
“Jadi dalam program ini kumpulan Orang Asli juga tidak dilupakan dan mereka dipanggil bersama-sama untuk diraikan,” katanya. 
“Idea ini adalah sejak sebelum pilihan raya lagi dan saya berhajat untuk melakukannya di setiap daerah. 
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas menolak budaya meletakkan mas kahwin yang tinggi dan baginya perkahwinan bukan satu perniagaan. 
Pasangan terbabit dinikahkan secara serentak dan pengantin perempuan menerima mas kahwin sekeping dinar mas dan RM500 termasuk senaskhah al-Quran yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri. 
Program anjuran bersama UPWKK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan itu juga membabitkan pasangan golongan remaja dan belia dari seluruh Kelantan .
Sebagai hadiah berbulan madu ada di antara mereka yang ditawarkan untuk ke China dan juga melancong dalam negara dengan tajaan Kerajaan Negeri dan individu tertentu. 
Hadir sama pada program tersebut, isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar; Pengerusi Bersama Program, Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Pengerusi, Rohani Ibrahim bersama Exco yang lain.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails