Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, December 27, 2010

Hanya 30 peratus dengar ceramah kursus kahwin

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Seorang pendakwah bebas hari ini mendedahkan, hanya kira-kira 30 peratus daripada peserta yang memberi tumpuan ketika sesi ceramah diadakan dalam kursus praperkahwinan.

Sehubungan itu, pendakwah berkenaan, Shafiee Khatib Jali mencadangkan supaya kursus berkenaan dirombak semula dengan memperbanyak sesi praktikal berbanding teori atau ceramah semata-mata.

Menurutnya, ini penting supaya kursus-kursus praperkahwinan benar-benar mampu menjadi benteng dalam kehidupan berumah tangga, sekali gus menghindari perceraian.

Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan supaya tempoh kursus tersebut dipanjangkan berbanding hanya dua hari ketika ini.

"Pelaksanaan modul perlu sepenuhnya menggunakan 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori, bukan bergantung kepada ceramah semata-mata.

"Ceramah tidak beri banyak kesan kepada peserta. Kajian mendapati hanya 30 peratus memberi perhatian ketika sesi ceramah diadakan," katanya yang juga fasilitator kursus praperkahwinan kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Mengenai hubung kait kursus praperkahwinan dan kadar penceraian, beliau berkata, perceraian sebenarnya lebih banyak berpunca daripada pasangan itu sendiri.

Menurutnya, kursus praperkahwinan disediakan untuk memberi pendedahan terhadap pelbagai perkara termasuk kesihatan, pengurusan sumber keluarga, kaunseling dan pengurusan konflik.

Tambahnya, kursus juga menitikberatkan akidah, ibadat dan komunikasi suami isteri dalam membimbing pasangan dalam memasuki dunia baru iaitu alam perkahwinan.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Mohd. Ajib Ismail berkata, trend penceraian sekarang banyak disebabkan kegagalan mengurus sumber kewangan di samping peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, perkara kecil yang melibatkan duit akan bertambah parah apabila isteri tidak mendapat nafkah yang layak baginya dan perkara itu akan terus berhubung kait antara satu sama lain.

Tambahnya, punca lain disebabkan oleh sikap pasangan itu sendiri yang tidak boleh bertolak ansur serta campur tangan orang ketiga seperti ibu bapa dan kawan baik.

"Namun kini, kemudahan teknologi maklumat seperti laman sosial serta telefon bimbit menjadi medium penyumbang meningkatnya kadar penceraian sekarang ini.

"Ia menyebabkan orang ramai mudah merujuk masalah keluarga kepada orang lain daripada berhubung sendiri dengan jabatan agama bagi mendapatkan kaunseling," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails