Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, January 24, 2011

11 barangan kawalan diumum

Ismail Sabri Yaakob bersama timbalannya, Tan Lian Hoe bertanyakan tentang jualan ikan kepada peniaga, Cheong Chan Lan (kanan) ketika melawat Pasar Awam Labis, semalam. - BERNAMA

LABIS 23 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini menetapkan 11 jenis barang harga terkawal bagi musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan berkuat kuasa 30 Januari sehingga 10 Februari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 barang tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, dan C; kubis bulat import dari Indonesia dan China kecuali jenis Beijing, ikan bawal putih, udang putih besar, perut babi dan daging babi.

Menurutnya, ia melibatkan harga maksimum borong dan runcit dibuat bagi 146 kawasan dan daerah di seluruh negara dengan 1,606 harga maksimum borong dan 1,606 harga maksimum runcit.

"Perbandingan harga skim pada tahun ini dengan tahun sebelumnya mendapati jumlah harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan lebih tinggi iaitu 66.34 peratus (borong) dan 65.74 peratus (runcit)," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Awam Labis dekat sini hari ini.

Ismail memberitahu, kerajaan telah memansuhkan pengeluaran lesen menjual barang harga terkawal bermula skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri tahun lalu bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta memudahkan urus niaga dan dasar itu diteruskan bagi perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Katanya, bagaimanapun peniaga perlu mematuhi syarat-syarat lesen antaranya mempamerkan plat tanda berwarna merah jambu, mempamerkan lesen dan tidak menjual harga barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan. Tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi peraturan.

"Bagi orang perseorangan, mereka boleh didenda sehingga RM15,000 atau dua tahun penjara di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Kesalahan ini juga boleh dikompaun sehingga RM7,500 manakala bagi pertubuhan pula denda maksimumnya ialah RM25,000," jelasnya.

Dalam hubungan ini, beliau memberitahu, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk tujuan pemeriksaan serta pemantauan.

Pengguna boleh menyalurkan aduan melalui e-aduan@kpdnkk.gov.my, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32255, talian bebas tol 1-800-886-800 atau mana-mana pejabat penguat kuasa kementerian di seluruh negara.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails