Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Thursday, January 27, 2011

6,872 kematian sepanjang 2010

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Angka kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara semakin membimbangkan apabila ia mencatatkan peningkatan 127 kematian iaitu 6,745 kematian pada 2009 kepada 6,872 kematian sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, peningkatan jumlah kemalangan maut juga membimbangkan.

Menurutnya, jumlah kemalangan maut meningkat kepada 6,260 kes sepanjang tahun lalu berbanding 6,218 kes pada tahun sebelumnya.

Sepanjang tahun lalu, katanya, sejumlah 414,421 kes kemalangan jalan raya dicatatkan, yang mana angka tersebut mengalami peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding 397,330 kes pada 2009.

"Untuk itu, dalam Ops Sikap kali ini, polis mensasarkan penurunan lima peratus kemalangan daripada 14,183 kemalangan yang berlaku semasa operasi perayaan Tahun Baru Cina tahun lepas, yang mencatatkan 201 kematian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Ops Sikap Ke-23 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Persada Plus Expressways Berhad (PLUS) dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan.

Sepanjang Ops Sikap Ke-23 yang bermula esok sehingga 10 Februari depan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemanduan yang melebihi had laju dan tidak mematuhi isyarat lampu merah, selain kesalahan memotong garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan lorong kecemasan.

Dalam perkembangan itu, Khalid memberitahu, pihak polis dan badan-badan lain yang terlibat akan menjalankan penguatkuasaan secara tegas sepanjang kempen Ops Sikap kali ini.

"Rondaan trafik dan sekatan jalan raya juga akan dipertingkatkan selain memberikan nasihat kepada pesalah trafik supaya mereka sentiasa berhemah dan berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan 19 menara pemerhati untuk membuat pemantauan di jalan-jalan persekutuan dan lebuh raya.

"Orang ramai juga boleh melayari Facebook atau ke laman web PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk mengetahui lokasi yang berbahaya di seluruh negara supaya mereka lebih berhati-hati ketika memandu," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails