Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, January 3, 2011

Krisis bekalan minyak masak menular di Kelantan

KOTA BHARU 2 Jan. - Masalah kekurangan minyak masak di Perlis kini menular ke Kelantan apabila rata-rata pengguna mengadu sukar untuk memperoleh bahan keperluan tersebut.

Kesukaran mendapatkan bahan itu yang pada mulanya hanya berlaku di kebanyakan kedai runcit kini mula berlaku di beberapa pasar raya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai runcit dan pasar raya sekitar negeri ini mendapati rak-rak menempatkan minyak masak banyak yang kosong.

Seorang pengguna, Suzana Mohd. Zain, 26, berkata, masalah itu mula ketara sejak dua minggu lalu sehingga menyukarkannya untuk memperoleh bekalan minyak masak untuk kegunaan seharian.

"Dulu kalau sukar dapat minyak masak di kedai runcit, saya pergi ke pasar raya besar. Namun, kini pasar besar pun sudah tiada stok, cuma yang ada hanyalah minyak masak berjenama dan harganya agak mahal daripada biasa," katanya.

Tambahnya, keadaan itu memaksa dia mencari bahan tersebut di beberapa premis perniagaan yang agak jauh dari rumahnya.

"Sebelum ini, saya boleh mendapatkan minyak masak di kedai-kedai runcit berhampiran rumah, tetapi hari ini saya terpaksa keluar masuk kedai runcit dan pasar raya semata-mata untuk mendapatkan bahan tersebut," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Wan Abdul Razak wan Sulaiman, 50, mendakwa, krisis tersebut turut menjejaskan perniagaannya kerana dia menggunakan antara dua hingga lima kilogram minyak masak setiap hari bagi menyediakan pelbagai menu.

"Jika bekalan terus tiada, kemungkinan saya terpaksa menutup kedai dan ini akan menjejaskan punca pendapatan keluarga. Saya berharap pihak berkenaan segera membuat pemantauan agar pengguna tidak terbeban dengan masalah ini," ujarnya.

Tambahnya, apa yang membimbangkan pengguna ialah kekurangan bekalan bahan tersebut di pasaran dikhuatiri menyebabkan harganya akan turut meningkat.

Sementara itu seorang peruncit, Tuan Abdullah Tuan Muda, 64, berkata, ini merupakan kali ketiga masalah kekurangan bekalan minyak masak berlaku.

"Saya tidak tahu nak cakap apa lagi, setiap kali pelanggan datang bertanyakan minyak masak saya terpaksa memberitahu bahawa bekalan sudah habis," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails