Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Saturday, January 8, 2011

Lulus Sejarah: Jawatankuasa ditubuh

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Kementerian Pelajaran kini di peringkat kajian mengenai bentuk kurikulum, buku teks dan teknik pengajaran yang perlu diterapkan di dalam mata pelajaran Sejarah yang akan menjadi subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, untuk tujuan itu kementerian menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh ahli-ahli akademik berlatar belakang sejarah Malaysia, Asia, Asia Tenggara dan antarabangsa selain ahli-ahli sejarah.

Katanya, jawatankuasa tersebut bertanggungjawab menggubal kurikulum serta memilih buku teks yang sesuai supaya subjek itu mampu memberi impak maksimum kepada para pelajar dalam konteks pemahaman dan penghayatan sejarah.

‘‘Pihak Kementerian Pelajaran sedang berusaha sedaya upaya antaranya melakukan pelbagai persediaan supaya dasar wajib subjek sejarah di peringkat SPM tidak terjejas pada tahun pelaksanaannya.

‘‘Saya juga ingin jelaskan bahawa keputusan menjadikan sejarah sebagai subjek wajib lulus SPM adalah muktamad,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO, 23 Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM mulai 2013.

Muhyiddin berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

Ketika ditanya mengenai jumlah guru yang diperlukan, Mohd. Puad berkata, pihak kementerian akan mula menawarkan Pengajian Sejarah di beberapa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu penting dalam usaha memastikan guru-guru opsyen Sejarah menjelang tahun 2013 mencukupi.

‘‘Pada masa sama, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi tujuan yang sama. Kerjasama ini saya lihat amat signifikan kerana universiti-universiti tempatan juga ada menyediakan Pengajian Sejarah,’’ katanya.

Beliau berkata, dari segi persediaan serta langkah-langkah diambil pihak kementerian yakin jumlah guru opsyen Sejarah menjelang tahun 2013 mampu menampung keperluan kesemua pelajar yang mengambil SPM.

Dalam perkembangan sama Mohd. Puad berkata, pada tahun pelaksanaan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib SPM, para pelajar ketika itu masih berada dalam kurikulum bersepadu sekolah menengah.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails