Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, January 19, 2011

UPM hasilkan ubat kanser daripada lempoyang

SERDANG: Hasil penyelidikan selama lapan tahun, enam penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan bahan semula jadi berasaskan tumbuhan herba, lempoyang bagi merawat dan mencegah kanser pangkal rahim tanpa sebarang kesan sampingan. 

Tidak seperti ubat sintetik biasa, hasil penyelidikan mereka membuktikan bahan berkenaan yang dipercayai antara produk terawal seumpamanya di dunia itu hanya membunuh sel kanser secara khusus tanpa mengganggu sel dan tisu normal lain.

Ketua penyelidik, Dr Ahmad Bustamam Abdul, berkata bahan berkenaan yang dijangka dipasarkan dalam bentuk kapsul dan cecair, boleh digunakan bersama ubat kimoterapi komersial lain dan boleh diambil dalam dos yang tinggi tanpa merosakkan tisu normal.

Lempoyang ialah daripada jenis halia dan juga dipanggil halia hutan atau liar, tumbuh liar di kawasan semak samun dan pokoknya hampir menyerupai pokok bunga kantan. 

“Bahan ini berguna secara langsung kepada wanita yang mempunyai masalah berhubung pangkal rahim dan selepas menjalani ujian pap smear, terbukti ada tanda kanser pangkal rahim. 

“Ia mampu merawat kanser di peringkat awal sebelum sel kanser bertukar kepada abnormal dan mengurangkan kebergantungan kepada ubat sintetik yang memberi kesan sampingan seperti keguguran rambut dan mengganggu sistem pencernaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Ahmad Bustaman berkata, dengan penemuan terbaru itu, kos rawatan pesakit kanser pangkal rahim dijangka jauh lebih murah, selain tidak perlu terlalu bergantung kepada ubat sintetik yang diimport dan lebih mahal. 

Katanya, bahan itu kini di peringkat pembangunan produk bertaraf komersial untuk pemasaran dan sudah pun dipatenkan serta diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

“Kita harap syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang daripada penemuan ini untuk memasarkan bahan semula jadi sebagai produk ubatan herba antikanser di peringkat global,” katanya. 

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails