Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, February 21, 2011

200 maut di Libya

KAHERAH - Sekurang-kurangnya sejumlah 200 orang telah terbunuh dalam operasi pihak berkuasa memerangi kebangkitan rakyat yang menentang pemimpin Muammar Gaddafi di Libya, kata seorang doktor di bandar Benghazi semalam.
Menurut doktor itu, hospital tempat dia bekerja menerima 200 mayat yang mati ditembak oleh pasukan keselamatan sejak beberapa hari lalu. Mayat-mayat itu merupakan penunjuk perasaan menuntut Gaddafi meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi negara berkenaan.
Doktor itu menyatakan, hospitalnya itu mengalami masalah kekurangan bekalan perubatan untuk merawat lebih 70 penunjuk perasaan yang cedera.
Sebelum ini seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch, Tom Porteous memberitahu agensi berita AFP, bahawa keadaan di negara itu sukar digambarkan kerana komunikasi di Libya amat sukar.
Dia berkata, pemerintah Libya menutup semua komunikasi Internet sejak kelmarin dan gangguan dalam perkhidmatan telefon telah menyebabkan amat sukar untuk memperoleh maklumat mengenai apa yang berlaku di negara berkenaan.
Tentera Libya dilapor melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan yang menghadiri pengebumian rakan mereka yang terbunuh dalam tunjuk perasaan di bandar Benghazi kelmarin.
Dalam kejadian itu, 15 orang dilaporkan mati akibat ditembak anggota-anggota pihak berkuasa.
Sementara itu, sejumlah penunjuk perasaan tidak mempedulikan operasi memerangi tunjuk perasaan apabila mereka kembali berhimpun di sebuah dataran di luar sebuah bangunan di bandar Benghazi.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Gaddafi supaya berundur selepas melihat penunjuk perasaan di Kaherah yang berjaya menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
Gaddafi, 68, yang memerintah selama empat dekad masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai tunjuk perasaan itu.
Beliau menjadi pemimpin selepas mengetuai beberapa pegawai tentera lain melakukan rampasan kuasa aman daripada pemerintah Libya, Raja Idris pada 1 September 1969.
Ketika rampasan itu, Raja Idris berada di Turki untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Rampasan itu dibuat ekoran perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan Raja Idris yang dianggap tidak cekap.
Minyak merupakan eksport Libya yang mewakili dua peratus daripada eksport minyak dunia.
Syarikat-syarikat minyak seperti Shell, BP dan Eni melabur berbilion-bilion dolar dalam industri minyak di negara itu. - Agensi

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails