Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, February 22, 2011

46,780 calon lulus penuh

Para pelajar SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu bersorak gembira menunjukkan Keputusan STPM di sekolah itu, semalam. - utusan/Shaifudin Mohd. Nor

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Seramai 46,780 atau 92.49 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan itu tahun lepas.

Keputusan itu menurun 0.06 peratus berbanding 48,481 calon atau 92.55 peratus pada 2009.

Dalam pada itu, hanya lapan calon mencapai keputusan gred A bagi kelima-lima mata pelajaran yang diambil berbanding 15 calon dalam tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak  berkata, daripada lapan calon berkenaan, empat calon berjaya mencapai kecemerlangan dalam semua kertas peperiksaan yang diambil dan diumum sebagai penerima anugerah pelajar cemerlang.

Mereka ialah pasangan kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya; Chow Jun Kang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, Kuala Lumpur dan Ling Xiao Chun, SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur.

Mengikut kategori pula, menurutnya, calon dari SMK Kota Marudu, Sabah, Syivero Patrick diumum sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar manakala Hazwani Ibarahim dari SMK Tun Sharifah Rodziah, Alor Star, Kedah (pelajar istimewa cemerlang bagi kategori sengau).

''Selain itu, Low Hong Ping dari SMK St. John, Kuala Lumpur menerima anugerah pelajar istimewa cemerlang (kategori spastik); Ahmad Syakirin Johari dari SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh (kategori rabun); Mohd. Rifaat Hussin dari SMK St. John, Kuala Lumpur (kategori buta) dan Chong Kai Zhen dari SMK Tinggi Kajang (kategori pekak),'' katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan STPM 2010 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang dekat sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu yang berlangsung dari 23 November hingga 16 Disember di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Dzulkifli memberitahu, selain penurunan peratusan lulus penuh, jumlah peratusan calon yang mendapat luluh penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menurun iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Menurut beliau, calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menurun iaitu dari 50.60 peratus pada 2009 kepada 48.98 peratus, tahun lalu.

"Bagaimanapun, jika dihitung berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), pada umumnya prestasi calon tahun lalu adalah lebih kurang sama dengan 2009. Minimum PNGK pada 2010 ialah 2.22 manakala 2.23 dicatatkan pada 2009,'' katanya.

Jelas beliau, seramai 343 calon atau 0.68 peratus mendapat PNGK 4.00 dan ia meningkat berbanding 0.63 peratus pada 2009.

Dari segi mata pelajaran, ujarnya, sebanyak 11 mata pelajaran iaitu Matematik Lanjutan T, Sains Sukan, Usuluddin, Pengajian Perniagaan, Syariah, Kimia, Bahasa Cina, Pengkomputeran, Matematik T, Sejarah dan Fizik mencatatkan peningkatan prestasi

Tambahnya, 11 lagi mata pelajaran mencatatkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Selain itu, katanya, analisis STPM 2010 juga menunjukkan jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara dengan prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar.

"Calon bandar yang mendapat lima A, empat A dan tiga A ialah sebanyak 946 calon berbanding hanya 105 calon luar bandar.

"Bagi sekolah kerajaan, prestasi pada 2010 adalah lebih kurang sama dengan 2009. Pada 2010, sebanyak 47 sekolah mencapai minimum PNGK 2.80 atau lebih tinggi berbanding dengan 25 sekolah pada 2008 dan 55 sekolah pada 2009,'' jelasnya.

Untuk keputusan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), katanya, prestasi calon MUET akhir tahun lalu mencatatkan peningkatan iaitu 46.02 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada peperiksaan pertengahan tahun.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Dzulkifli yang ditanya tentang prestasi pelajar luar bandar berkata, guru berkualiti serta berpengalaman seharusnya diletakkan di sekolah-sekolah di kawasan berkenaan bagi membantu meningkatkan prestasi STPM.

Mengenai penurunan kualiti STPM untuk 2010, katanya, biarpun memperlihatkan kemerosotan, ia secara keseluruhannya boleh dikatakan sama dengan 2009.

Beliau yang kemudiannya diaju persoalan tentang STPM yang dikatakan semakin kurang popular berkata, ia hanyalah persepsi orang ramai.

"Trend pelajar kini lebih minat memasuki pengajian di peringkat diploma. Persepsi mereka, dengan memiliki diploma, ia dijamin mudah untuk dapat pekerjaan dan melanjutkan pengajian lebih tinggi.

"Tetapi bagi saya, ia tidak ada bezanya dengan STPM. Kedudukan STPM harus dikekalkan dan mungkin boleh ditambah baik,'' jelasnya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails