Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, February 18, 2011

Pegangan ekuiti bumiputera 22%

PUTRAJAYA 17 Feb. – Pegangan ekuiti bumiputera dalam pasaran modal baru mencapai 22 peratus berbanding sasaran kerajaan sebanyak 30 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu pangkalan data akan diwujudkan untuk mendapatkan gambaran sebenar kedudukan bumiputera agar langkah pengukuhan kedudukan mereka dapat diperoleh secara lebih jelas.

Jelas beliau, pegangan ekuiti bumiputera bukan sahaja dari sudut ekonomi membabitkan pemilikan saham tetapi juga pemilikan hartanah di bandar besar, pendidikan golongan profesional, skim gaji serta kepimpinan tertinggi dalam syarikat gergasi.

“Kerajaan mahu melihat keupayaan bumiputera dari pelbagai sudut kerana kita tidak boleh lihat satu sudut sahaja, kena lihat dalam perspektif lebih besar.

“Pemilikan harta umpamanya, rumah-rumah kedai amat rendah. Untuk membeli rumah-rumah berangkai dua tingkat di bandar besar, ramai bumiputera kurang mampu memilikinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Taklimat Unit Agenda Peneraju Bumiputera (Teraju) di Menara Usahawan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh dan wakil-wakil persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan bumiputera.

Ditanya bila jangkaan sasaran 30 peratus itu boleh dicapai, beliau memberitahu, Teraju akan mencari kaedah yang lebih berkesan dan menetapkan tempoh sasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Januari lalu mengumumkan penubuhan Teraju bagi menyelaraskan isu-isu pembangunan ekonomi bumiputera.

Selain meningkatkan pegangan ekuiti, Teraju turut ditugaskan untuk melihat kaedah terbaik bagi meningkatkan bilangan profesional bumiputera dan tenaga mahir dalam syarikat awam.

Menurut Mustapa, penyumbang kepada peningkatan pegangan bumiputera antara lain melalui pengagihan saham khas menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementeriannya.

Kata beliau, untuk tahun lepas sahaja, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada pelabur-pelabur bumiputera.

Namun, katanya, kementerian perlu mengkaji semula keberkesanan kaedah itu kerana walaupun sudah lama dijalankan, pegangan ekuiti bumiputera baru mencapai 22 peratus.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails