Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, March 9, 2011

Dana Rakyat 1Malaysia dilancar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Dana Rakyat 1Malaysia dilancarkan hari ini bagi membantu pengguna yang memenangi kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar khidmat guaman apabila berdepan dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi oleh pihak peniaga atau pembekal perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui dana tersebut, pengguna tidak perlu menanggung kos guaman yang tinggi iaitu antara RM10,000 hingga RM30,000.

Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya perlu membayar RM5 dan bantuan khidmat guaman akan diberikan secara percuma.

"Oleh yang demikian pihak pengguna tidak perlu lagi bimbang seandainya kes mereka dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana selepas ini sebarang bayaran khidmat peguam akan ditanggung oleh dana tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Bantuan Guaman Kepada Pengguna antara kementerian dengan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) dan Majlis Peguam Malaysia di Menara SSM di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, program bantuan guaman secara percuma itu merupakan kerjasama antara Majlis Peguam Malaysia yang akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada pengguna secara percuma.

Sementara itu, katanya, Bank Rakyat akan membayar balik kepada Majlis Peguam Malaysia yuran mahkamah yang dikenakan bagi sesuatu kes yang dibayar melalui dana tersebut.

Menurutnya, buat permulaan sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi dana tersebut yang disumbangkan oleh Bank Rakyat dan SSM.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, sejak TTPM ditubuhkan pada 1999 sehingga kini, sebanyak RM257,124,960.07 nilai tuntutan diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM142,338,575.53 tuntutan dibayar.

Sementara itu, kata beliau, jumlah tuntutan yang difailkan pula adalah sebanyak 56,415 dengan 55,603 kes berjaya diselesaikan.

"Daripada jumlah kes yang difailkan, hanya lebih kurang 130 kes sahaja yang dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman.

"Walaupun angka ini kecil, ia tetap beban kewangan yang besar kepada pengguna. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan memberikan perlindungan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TTPM mengambil inisiatif membuka lebih banyak cawangan baru bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang tinggal di luar bandar.

Tahun ini sahaja, sebanyak 10 cawangan dibuka dan lima daripadanya telah beroperasi iaitu di Taiping dan Manjung, Perak; Batu Pahat, Johor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kulim, Kedah.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails