Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, March 2, 2011

Pembekal alat perubatan wajib daftar produk

SEREMBAN 1 Mac - Pembekal-pembekal peralatan perubatan di negara ini diwajibkan mendaftarkan produk mereka dengan Kementerian Kesihatan selepas rang undang-undang berkaitan perkara itu dibentangkan ke Dewan Rakyat bulan ini untuk kelulusan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, turut diwajibkan berbuat demikian ialah pembekal dari luar negara sebelum produk mereka mendapat kebenaran kementerian untuk pasaran domestik.

Menurutnya, ia bertujuan memperhalusi serta memperkemaskan peraturan dan standard berhubung pemasaran produk berkenaan di negara ini sekali gus menjamin perkakasan yang dipasarkan selamat untuk kegunaan umum.

"Kajian berhubung rang undang-undang itu kini sudah selesai dan akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat bulan ini atau selewat-lewatnya pada Jun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan institut penyelidikan farmaseutikal, Bio Molecular Industries Sdn. Bhd. di Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Perancis, Jean Claude Macourt dan Pengerusi Bio Molecular, Datuk Seri Tai Hean Leng.

Jelas Tiong Lai, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan rang undang-undang itu nanti, kementerian telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan dengan pengeluar dan penggiat industri terbabit.

"Perkara ini juga telah kita maklumkan kepada pembekal luar termasuk hospital swasta di negara ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Tiong Lai memberitahu, kementerian berusaha mengadakan kerjasama dengan beberapa hospital di negara ini untuk menubuhkan pusat penyelidikan perubatan di hospital berkenaan.

"Setakat ini, tiga hospital telah mewujudkan sebuah pusat khas bagi menjalankan penyelidikan berkaitan perubatan. Sembilan lagi hospital masih berada di peringkat cadangan untuk menubuhkan pusat penyelidikan berkenaan," ujarnya.

Tambahnya, inisiatif itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan nilai import dalam sektor perubatan.

"Kita berharap dengan adanya pusat sebegini kos perubatan pesakit dapat dikurangkan sekali gus membolehkan masyarakat mendapatkan ubat pada harga berpatutan,"jelasnya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails