Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, March 8, 2011

Program baru perubatan dibeku?

PUTRAJAYA 7 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mungkin membekukan semua program baru bidang perubatan yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.

Keputusan itu dibuat ekoran penawaran dalam program perubatan melebihi permintaan dan kerajaan perlu menjaga kualiti program.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebanyakan IPT ketika ini tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga pengajar yang mencukupi.

“KPT sememangnya sedang menimbangkan untuk melakukan moratorium (penangguhan) terhadap program-program perubatan.

“Kita berasakan masalah seperti tidak cukup tenaga akademik, hospital pengajar dan kalau ada pun hospital yang ditumpangi itu memang tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan sijil menaik taraf Allianze Universiti College of Medical Sciences (AUCMS).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir. Pada majlis itu, AUCMS menerima watikah naik taraf kepada kolej universiti.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan mengumpul maklumat membekukan program tersebut untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mohamed Khaled menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan membenarkan program perubatan yang ditawarkan di IPT tempatan beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Semua program perubatan hanya akan dipertimbangkan oleh kementerian setelah pihak yang memohon itu mempunyai kelulusan daripada MMC,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian dalam proses akhir untuk mendaftarkan dua universiti baru di Malaysia.

Dua universiti itu akan beroperasi di Iskandar Malaysia, Johor Bahru iaitu Southampton Universiti Malaysia dan Raffles Universiti Iskandar.

Jelas beliau, sehingga akhir Februari lalu, kementerian telah meluluskan pendaftaran 25 buah IPT bertaraf universiti, 22 kolej universiti dan lima kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails