Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Tuesday, June 7, 2011

Sistem biometrik diguna hujung Jun

KUALA LUMPUR 6 Jun – Kerajaan akan melaksanakan sepenuhnya penggunaan teknologi biometrik sebagai kaedah untuk menangani jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini yang kini dianggarkan berjumlah kira-kira 2 juta orang, penghujung bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menerusi kaedah itu, agensi penguat kuasa di negara ini akan dapat memantau serta mengenal pasti tujuan kemasukan setiap pendatang asing ke negara ini.

“Penggunaan biometrik ini penting untuk kita mengenal pasti tujuan kemasukan setiap pendatang asing ke negara ini agar mereka tidak memberi ancaman kepada negara.

“Kita tidak pasti sama ada mereka yang masuk ke negara ini betul-betul mahu bekerja atau melakukan jenayah. Sebagai contoh, seorang pengganas itu boleh membawa kemusnahan kepada sesebuah negara dan ini yang membimbangkan jika tidak ditangani.

“Untuk itu, kita memberikan mereka masa untuk tinggal di negara ini tetapi perlu mendaftar kerana sistem biometrik ini adalah satu mekanisme yang berkesan untuk mengesan golongan terbabit,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Teknologi biometrik mengumpulkan semua maklumat mengenai setiap individu termasuk gambar, geometri muka dan tangan, ukuran iris mata atau cap jari. Maklumat lain yang biasanya terkandung dalam teknologi ini termasuk nama penuh, nama ibu bapa, alamat, pekerjaan, kerakyatan dan jenis darah.

Sistem kawalan imigresen melibatkan penggunaan teknologi biometrik ini secara menyeluruh mula dilaksanakan mulai 1 Jun lalu di 63 pintu masuk di seluruh negara.

Hishammuddin pada masa yang sama tidak menafikan kebaikan dokumen keluar masuk sedia ada seperti pasport tetapi dalam jenayah tanpa sempadan sekarang, penjenayah bijak menggunakan tipu helah dengan memalsukan dokumen perjalanan itu.

Oleh yang demikian, beliau memberitahu, sistem biometrik dilihat satu kaedah yang berkesan kerana ciri-ciri keselamatan seperti menggunakan cap jari adalah satu-satu atau sekurang-kurangnya bukti yang sukar untuk dipalsukan.

Beliau berkata, melalui sistem itu juga, pihak penguat kuasa dapat mengenal pasti mana-mana sindiket atau syarikat yang melakukan jenayah pemerdagangan manusia dengan membawa masuk PATI.

“Selain Malaysia, pelaksanaan sistem biometrik ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa negara lain yang dikenal pasti sebagai negara asal, negara transit dan negara destinasi pendatang terbabit. Kita melakukan risikan dan kajian selama setahun setengah sebelum melaksanakan kaedah terbaru ini.

“Kita mahu melaksanakan sistem ini terlebih dahulu sebelum kita pergi kepada proses sebenar iaitu mendaftarkan mereka atau menetapkan tempoh mereka boleh berada di negara ini kerana ia berkait rapat dengan sektor lain yang memerlukan perkhidmatan mereka,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails