PUTRAJAYA - Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia atau PR1MA akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek di bawah program tersebut di seluruh negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, perbadanan khas yang diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri itu juga akan membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.
Sehubungan itu katanya, akta khas digubal mengenai penubuhannya dan akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.
"Ini kerana (penubuhannya) kita melihat bahawa unit ini akan memberi satu peluang yang cukup baik untuk kita membangunkan sebuah industri secara besar-besaran.
"Mudah-mudahan dengan tertubuhnya perbadanan khas ini, PR1MA akan menjadi program yang sangat penting selaras dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya ketika melancarkan PR1MA di sini semalam.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Najib berkata, dasar baharu itu akan dapat melonjakkan ruang pemilikan rumah untuk rakyat. - Bernama
No comments:
Post a Comment