Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Friday, August 19, 2011

24 lebuh raya tawar diskaun


KUALA LUMPUR 18 Ogos – Sebanyak 22 syarikat konsesi meneruskan komitmen mereka memberikan diskaun dan rebat tol kepada pengguna lebuh raya sempena musim perayaan Hari Raya dan bulan kemerdekaan pada penghujung Ogos dan awal September ini.

Ia melibatkan 24 buah lebuh raya di seluruh negara dengan kadar diskaun antara lima peratus hingga 37.5 peratus selain pemberian tol percuma di Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (LATAR) sehingga 31 Ogos ini sempena pembukaan lebuh raya itu pada 23 Jun lalu.

Beberapa lebuh raya seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) yang mencatat pengguna tertinggi menawarkan diskaun sehingga 20 peratus lebih awal masing-masing bermula 25 dan 26 Ogos serta 28 dan 29 Ogos selain 1 dan 2 September.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, dianggarkan diskaun dan rebat tol yang diberikan oleh syarikat-syarikat konsesi sepanjang enam hari sambutan musim perayaan itu membabitkan kos hampir RM7 juta.

“Komitmen ini merupakan sokongan mereka kepada kerajaan selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terutama dalam menangani bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Walaupun ada syarikat konsesi telah menstruktur semula kadar tol mereka misalnya dengan tidak menaikkan kadar tol selama lima tahun dan sebagainya tetapi masih mampu ke hadapan memberi diskaun dan rebat sepanjang musim perayaan ini. Ini sesuatu yang amat dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya kementerian tersebut di Tol Plaza Lagong, Lebuhraya Koridor Guthrie dekat sini, hari ini.

Dijangkakan sebanyak tujuh juta kenderaan bakal menikmati pemberian diskaun dan rebat tol tersebut di lebuh-lebuh raya utama selain percuma di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) pada Hari Kemerdekaan bermula pukul 12 tengah malam 31 Ogos sehingga 11.59 pagi.

Sementara itu Shaziman berkata, pihaknya akan terus melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan dan kerja-kerja pemulihan di jalan-jalan persekutuan dan lebuh raya seluruh negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Menurut beliau, tahun lalu sahaja pihaknya telah memperuntukkan masing-masing sebanyak RM15.66 juta bagi kerja pemulihan di 37 lokasi jalan-jalan persekutuan dan RM8.10 juta bagi 10 lokasi lebuh raya.

Katanya, melalui kerja-kerja pemulihan yang dilakukan itu, ia telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya sehingga 78.6 peratus.

Malah katanya, kerja-kerja pemulihan yang dilakukan telah mencatatkan kemalangan sifar di jalan-jalan persekutuan berbanding 395 kemalangan pada tempoh yang sama.

Bagi melancarkan aliran trafik yang lazimnya meningkat hampir dua kali ganda pada musim perayaan, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan semua kerja-kerja pembinaan di jalan raya dan lebuh raya dihentikan buat sementara.

Beliau turut menyarankan pengguna lebuh raya agar sentiasa mendapatkan maklumat trafik terkini daripada Pusat Pengurusan Trafik (TMC) Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) selain maklumat terkini di radio-radio.

Dalam perkembangan lain, Shaziman turut mengumumkan pembukaan sebahagian jajaran Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 bermula 22 Ogos ini.

Sebanyak tiga laluan akan dibuka bermula Persimpangan Bertingkat Bukit Besi ke Persimpangan Bertingkat Bukit Ajil sepanjang 42.4 kilometer.

Pembukaan ini memberi kemudahan kepada pengguna dari arah Dungun dan Kuantan ke Ajil dan Kuala Berang tanpa menggunakan jalan persekutuan serta menjimatkan masa perjalanan dari 40 minit ke 25 minit.

Bagi mereka yang ingin ke Kota Bahru, pengguna dari Persimpangan Bertingkat Ajil boleh meneruskan perjalanan melalui Jalan Ajil-Kuala Berang dan masuk ke jalan besar yang menghubungkan semula Jalan Persekutuan 3 melalui Sungai Tong menghala ke utara Pantai Timur.

Selain itu laluan baru yang dikenali sebagai Bukit Payung Spur Road sepanjang 16.3 kilometer dan jajaran dari Persimpangan Bertingkat Telemung ke Persimpangan Bertingkat Kuala Terengganu sepanjang 9.2 kilometer akan turut dibuka dan ia bakal bertindak sebagai jalan lingkaran luar bagi pusat bandar raya Kuala Terengganu.

Pengguna dari arah selatan Jalan Persekutuan 3 boleh menggunakan laluan itu untuk ke arah utara Pantai Timur tanpa perlu melalui pusat bandar raya Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, kita menasihati pengguna lebuh raya agar berhati-hati menggunakan lebuh raya baru itu memandangkan ia belum siap sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails