Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Wednesday, September 14, 2011

Malaysia dapat tambahan 2,000 kuota haji


KUALA LUMPUR 13 Sept. — Malaysia memperoleh tambahan kuota jemaah sebanyak 2,000 daripada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan 28,000 jemaah negara ini menunaikan haji di tanah suci tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pertambahan kuota itu diberi berikutan populasi penduduk Malaysia yang kini mencapai 28 juta orang.

"Saya sudah bermesyuarat dengan pihak pengurusan haji (Arab Saudi) dan memberitahu mereka tentang pertambahan rakyat Malaysia. Mereka bersetuju untuk menambah bilangan kuota ini selaras dengan jumlah rakyat kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan Arab Saudi menyediakan kawasan penempatan jemaah haji yang lebih luas selain membina lebih banyak hotel empat dan lima bintang berdekatan Masjidil Haram untuk menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk menunaikan rukun kelima itu.

"Sebelum ini jemaah kita ditempatkan di kawasan yang berjauhan (dari Masjidil Haram) dan menyukarkan mereka... tetapi kali ini dengan adanya penempatan baru, ia akan memudahkan jemaah kita," katanya.

Jamil Khir berkata, Lembaga Tabung Haji (LTH) juga membuat persiapan rapi untuk melancarkan pengurusan jemaah termasuk menyediakan 800 orang petugas di Malaysia dan Arab Saudi.

Beliau juga meminta jemaah terutamanya warga emas supaya mengikut arahan pegawai LTH terutamanya dalam menjaga kesihatan dan keselamatan diri masing-masing semasa menunaikan ibadah itu.

Jamil Khir turut mengumumkan bahawa Kongres Majlis Agama Islam Malaysia, yang julung kali diadakan, akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kongres itu akan diadakan pada 26 hingga 27 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). BERNAMA

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

My Blog List