Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Tuesday, September 13, 2011

Negara rugi jika ramai lelaki tak layak ke IPT

SERDANG: Perbezaan ketara jumlah pelajar perempuan berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini dikhuatiri boleh menggagalkan pembangunan sumber manusia terutama dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumber manusia adalah kekuatan negara dan bilangan pelajar lelaki yang rendah memasuki universiti akan menyebabkan golongan itu tidak dapat memberi sumbangan besar kepada kejayaan dua program berkenaan.
Kekurangan pelajar lelaki lanjut pengajian ke universiti menyebabkan negara gagal memaksimumkan kepakaran menjayakan GTP dan ETP. Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi
“Pembangunan sumber manusia bergantung kepada ilmu dan kemahiran dan kekurangan pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke universiti menyebabkan negara gagal memaksimumkan kepakaran untuk menjayakan GTP dan ETP.

“Sebahagian besar pelajar lelaki (yang gagal melanjutkan pengajian ke universiti) tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sumber manusia dan ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jelajah GTP dan ETP Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertema `Youth Defined: Shape Our Future’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa; Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria. 
Ketika ini, seramai 1.2 juta pelajar mengikuti pengajian di IPT awam dan swasta dengan majoritinya adalah perempuan, sebagai contoh bagi kemasukan pelajar baru sesi September 2011/2012, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya nisbah ialah 30:70, manakala di UPM pula 33:67. 

Mohamed Khaled berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan jumlah pelajar lelaki di universiti adalah menjadikan siswa lelaki sebagai idola sekurang-kurangnya di kampung kelahiran mereka.

Sebagai contoh katanya, ketika musim cuti semester, pelajar terbabit menjalankan program motivasi kepada generasi muda di kampungnya mengenai kepentingan dan keistimewaan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Sebagai idola di kampungnya, pelajar terbabit perlu memiliki ‘daya pikat’ dengan memberi ceramah satu atau dua jam untuk membentuk minat kepada generasi muda lelaki dengan menjadikan universiti sebagai destinasi mereka. Jangan balik rumah hanya duduk dalam bilik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled, berkata KPT akan berbincang dengan pihak universiti untuk memberikan kredit kepada pelajar universiti yang terbabit menjayakan GTP dan ETP sebagai kemahiran insaniah.

Katanya, graduan masa kini bukan saja bergantung kepada ilmu, sebaliknya kemahiran insaniah sangat penting yang meliputi pembabitan luar untuk mencetuskan idea memajukan masyarakat.

“Pelajar boleh masuk ke kawasan luar bandar untuk mengenal pasti sumber ekonomi yang boleh dimajukan oleh masyarakat setempat untuk membebaskan mereka daripada kelompok miskin tegar. Mereka memiliki pengetahuan dan inovasi yang boleh dimanfaatkan masyarakat kawasan itu,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails