Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Monday, October 10, 2011

1 pakar bius untuk 45,000 orang

KUALA LUMPUR: Malaysia masih kekurangan Anaesthesiologist (pakar bius) bagi menampung pembedahan dengan bilangan pakar itu di hospital kerajaan dan swasta sehingga kini hanya 620 orang atau mewakili nisbah 1:45,000.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan akan menambah bilangan pakar bius itu melalui inisiatif yang dilaksanakan, termasuk memudahkan doktor mengambil peperiksaan Fellowship of the Australian & New Zealand College of Anaesthesiology (FANZCA) yang dijangka mampu melahirkan sehingga 120 pakar itu dalam masa setahun.
Dalam jangka masa panjang, kita akan wujudkan Program Sarjana Anaesthesialogi di UPM pada 2013 dan meningkatkan pengambilan pakar bius pelatih daripada 80 tempat yang disediakan bagi pengajian itu setiap tahun. - Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan
Beliau berkata, langkah penambahan pakar bius adalah penting kerana bidang perubatan itu antara satu faktor utama bagi menjayakan pembedahan di bilik operasi.

“Jika di negara maju nisbah bagi pakar bius dan pesakit adalah 1:10, 000. Bagaimanapun, kita yakin dalam masa terdekat kita boleh menambah bilangannya, tahun ini saja seramai 30 doktor mengambil peperiksaan FANZCA.

“Dalam jangka masa panjang, kita akan mewujudkan Program Sarjana Anaesthesialogi di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2013 dan meningkatkan pengambilan pakar bius pelatih daripada 80 tempat yang disediakan bagi pengajian itu setiap tahun,” katanya pada sidang media sempena Hari Anestesia Kebangsaan 2011 yang dianjurkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pakar Bius Malaysia (MSA) (Malaysian Society of Anaesthesiologists) di Taman Tasik Titiwangsa di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Presiden MSA, Datin Dr Sivasakthi. 
Sempena sambutan itu, sebanyak enam kategori acara larian diadakan yang berjaya menarik seramai 600 peserta pelbagai usia terdiri daripada kakitangan HKL dan orang ramai. 

Pada masa sama, Liow berkata, kementerian akan mengadakan Karnival Kesihatan di Sarikei, Sarawak bulan depan bagi menyelesaikan kes pembedahan tertunggak di kalangan pesakit elektif, iaitu pesakit yang menunggu tarikh giliran untuk dibedah akibat kekurangan pakar bius.

“Melalui karnival yang diadakan selama dua hari itu, pakar perubatan dari seluruh negara akan turut serta. Kita akan selesaikan semua kes tertunggak yang setakat ini paling banyak di Sabah dan Sarawak.

“Jadi dengan penyelesaian terhadap kes tertunggak merangkumi pembedahan ortopedik, buah dada dan kornea yang kebiasaannya mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menunggu sebelum dapat dibedah, selepas ini kita akan kurangkan kepada 12 minggu menunggu mengikut standard Kementerian Kesihatan,” katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails