Promosi!!!

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Wednesday, October 19, 2011

Bank Susu tidak menyalahi syarak


KOTA BHARU 18 Okt. - Pelaksanaan program Bank Susu bagi menyimpan bekalan susu badan untuk menyelamatkan bayi pramatang tidak bersalahan dengan hukum Islam, malah ia juga tidak menjadikan bayi yang menerima susu itu sebagai anak atau 'mahram' penderma.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, konsep ibu dan anak susuan memerlukan kepada 'rada'ah' iaitu penyusuan secara langsung daripada payudara wanita kepada bayi sebagaimana disebut dalam nas al-Quran dan hadis.

Justeru, katanya, pengambilan susu melalui botol atau mana-mana kaedah lain tidak akan menjadikan wanita dan bayi tersebut mempunyai pertalian di sisi syarak yang boleh menimbulkan masalah dan kekeliruan jika konsep Bank Susu dilaksanakan.

"Pandangan yang mengatakan bahawa penyusuan daripada botol akan menjadikan mereka ibu dan anak susuan adalah pandangan sebahagian ulama sahaja, sedangkan nas dalil al-Quran menyebut perlu ada proses penyusuan langsung daripada ibu susuan sendiri.

"Malah tokoh ulama tersohor, Dr. Yusuf Qardhawi juga cenderung mengatakan bahawa yang penting kena ada 'rada'ah' atau proses penyusuan, berapa kali hisapan ia tidak menjadi masalah, yang lebih dipertimbangkan adalah soal hubungan kejiwaan antara bayi dengan ibu susu dan bukan semata-mata material susu," katanya selepas Konvensyen Kebangsaan Hospital Mesra Ibadah Ke-3 anjuran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang berlangsung di Alor Star pada Jumaat lalu yang membincangkan isu berkaitan ibu susuan.

Sumber memberitahu bahawa mesyuarat itu memutuskan bayi yang menghisap susu orang lain sekali pun daripada botol dan sebagainya, dengan syarat susu itu masuk melalui mulut, bayi tersebut menjadi anak susuan kepada pemilik susu.

Juanda berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan itu yang menurutnya tidak bersandarkan kepada nas dalil asal serta tidak memanggil pakar untuk memberi penjelasan dari sudut sains dan perubatan.

"Kita kena pilih pandangan yang lebih menepati kepada dalil, malah kalau kita tengok enakmen pentadbiran agama Islam berkenaan sudut pemilihan fatwa memperuntukkan jika fatwa yang diputuskan bertentangan dengan maslahat orang ramai, hendaklah dipilih pandangan memenuhi maslahat orang ramai.

"Dalam hal ini, ulama peringkat antarabangsa juga bersetuju soal Bank Susu perlu melihat maslahat itu sendiri, soal darurat bayi pramatang di hospital, ini satu keperluan mendesak sebenarnya untuk selamatkan nyawa bayi.

"Pihak berkenaan sewajarnya bertanya kepada hospital setakat mana masalah ini kalau mereka rasa ragu tentang keperluan Bank Susu ini. Kita jangan gambarkan seolah-olah ia seperti menjual susu lembu dan kambing, ia tidak mungkin menjadi sebanyak itu, cukup untuk keperluan bayi yang memerlukan sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Harmy Mohd. Yusof berkata, pengambilan susu daripada ibu susuan tidak akan menyebabkan berlakunya percampuran genetik kepada bayi seperti yang disangka sesetengah pihak.

"Percampuran genetik berlaku lebih awal iaitu di peringkat persenyawaan benih lelaki dan wanita, maklumat genetik tidak mungkin diturunkan melalui penyusuan, ia lebih kepada hubungan psikologi antara ibu dan anak susuan dan bukannya biologi, samalah dengan kita yang meminum susu lembu, ia bukan bermakna gen lembu sudah masuk ke dalam diri kita," katanya.

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails