Jawatan Kosong (Terkini)

Malaysia Career (Terkini)

JobsMalaysia.Info (Terkini)

Malaysia Job Portal (Terkini)

JobStreet.com (Terkini)

Wednesday, October 17, 2012

Kelajuan internet 100mbps pada RM999 sebulan hanya di Cyberjaya


CYBERJAYA - Cyberjaya yang merupakan Hab Teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT) Nasional, melangkah setapak ke hadapan dengan menawarkan pakej kelajuan internet pada 100Mbps dengan harga RM999 sebulan, menjadikannya sebagai satu-satunya kawasan di negara ini yang menawarkan kemudahan itu secara komersial.
   
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pemaju induk Cyberjaya, Setia Haruman Sdn Bhd dan TIME dotCom Bhd, dengan kemudahan daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) bekerjasama bagi menyambungkan 3,300 rumah dan 1,400 pejabat dengan 100 peratus rangkaian fiber optik yang membolehkan mereka menikmati kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.
   
"MDeC dan Cyberview Sdn Bhd terus bekerjasama dengan Setia Haruman dan pihak berkepentingan yang lain bagi mengenal pasti keperluan perniagaan ICT yang khusus dan insentif MSC Malaysia untuk menggalakkan syarikat-syarikat beroperasi dari Cyberjaya dengan bakal pelabur untuk datang ke bandar itu.
   
"Kementerian menyokong penuh usahasama seperti ini dan akan terus bekerjasama dengan Setia Haruman, Cyberview dan MDeC bagi meningkatkan kejayaan ahli perniagaan dan komuniti di Cyberjaya," katanya semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Infra Cyberjaya 2012 di sini, hari ini.
   
Ongkili juga melancarkan projek 'testbed' atau 'WIFI Cloud', yang berdasarkan kepada seni bina rangkaian tanpa wayar dan merupakan penyelesaian inovatif bagi menyediakan generasi baru dalam 'Managed Hotspot Services' yang berupaya menilai khidmat yang ditawarkan kepada pengguna.

Beliau berkata ujian tiga bulan itu dijalankan di Cyberjaya bermula bulan ini dan sebaik ujian percubaan itu berjaya, lokasi strategik di sekitar Cyberjaya akan dipilih bagi pengeluaran awal.
   
"Dengan teknologi ini, anda boleh dihubungkan pada kelajuan tinggi tidak kira anda berada di mana-mana tempat di Cyberjaya. Ia merupakan mutiara bagi keseluruhan industri ICT," katanya.
   
Ongkili berkata inisiatif projek itu adalah sebahagian daripada peranan MDeC bagi membolehkan dan menggalakkan teknologi baru dan yang baru muncul diguna pakai dalam kawasan MSC Malaysia terutama Cyberjaya.
   
Percubaan itu dijangka menyokong inisiatif jalur lebar kebangsaan dalam merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar dan bagi meningkatkan penembusan jalur lebar di kalangan penduduk.
   
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata dengan pakej kelajuan internet 100Mbps, syarikat-syarikat besar dan kecil kini boleh menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi.
   
Katanya sebelum ini, syarikat-syarikat itu perlu mempunyai talian sendiri yang khusus bagi mendapatkan kelajuan seperti itu dan hanya syarikat-syarikat multinasional mampu memilikinya.
   
"Khidmat ini amat penting kerana syarikat-syarikat yang beroperasi di Cyberjaya kebanyakannya terbabit dalam pemindahan fail, animasi, khidmat perkongsian, oerpasi global dan kolaborasi dengan rakan sejawat antarabangsa," katanya. - Bernama

No comments:

Sila-silakan tinggal komen anda di sini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails